Friday 19 October 2012

NAZRI GESA PAKATAN RUJUK ICAC






Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

KUALA LUMPUR : Kerajaan Barisan Nasional (BN) dilihat masih lagi cuba mempertahankan Umno Sabah berhubung isu dana RM40 juta daripada sumber tidak diketahui apabila menggesa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) untuk menyemak sendiri dengan agensi anti rasuah Hong Kong,  untuk mendapatkan kepastian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini turut menjelaskan, bukan menjadi satu kesalahan apabila parti politik juga menerima sumber dana luar.

“Tidak menjadi satu kesalahan parti politik, atau mana-mana pertubuhan menerima sumbangan, tiada kesalahan. Orang nak bagi, kita terima ... apa masalahnya, tiada pelanggaran undang-undang.

“Jika tak puas hati dengan jawapan saya, sila tanya kepada Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) Hong Kong, mereka yang menyiasat dan menutup kes itu,” katanya merujuk kepada dana RM40 juta yang diterima Umno Sabah.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu turut menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyiasat kes tersebut.

“Siasatan dilakukan ICAC, yang dikenali dengan siasatan yang tegas tanpa takut ... SPRM tidak menyiasat kes itu,” katanya lagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai dalam sesi Parlimen hari ini.

Pada April lalu, laman web Sarawak Report telah mendedahkan dokumen daripada ICAC yang didakwa menunjukkan seorang peguam di Sabah memasukkan sejumlah AS$30 juta (RM92 juta) dalam akaun di bank Switzerland yang dimiliki oleh Datuk Musa Aman.

Michael Chia yang dituduh sebagai mempunyai kaitan dengan kes Musa ini merupakan pelabur balak yang banyak menjalan menjalankan urusan dengan syarikat British Virgin Islands yang secara langsung melibatkan peguam tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan, pemberian dana RM40 juta kepada Umno Sabah adalah bertujuan derma politik dan selagi ia disalurkan dengan cara yang betul ia bukan satu kesalahan.

“Ia satu derma politik. Semua parti mempunyai hak untuk menerima derma politik. Selagi ia melalui saluran yang betul, ia tidak menjadi kesalahan,” kata Najib.

Apabila ditanya sumber daripada mana dana tersebut diperoleh, Najib enggan mendedahkan butiran perkara tersebut dan mendakwa pembangkang juga menerima derma politik bagi menjalankan operasi parti mereka.

“Cuba tanya pembangkang berapa banyak yang sudah mereka kutip daripada derma politik,” tambah Najib.

Media sebelum ini melaporkan Nazri dalam jawapan balas kepada ahli parlimen PKR, Chua Tian Chang berkata tiada elemen perbuatan rasuah dapat dibuktikan terhadap dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah ke atas Musa serta berkata wang berjumlah jutaan ringgit yang disalurkan adalah bertujuan untuk kegunaan Umno Sabah.

Ahli Parlimen Padang Renggas itu juga berkata pihak Peguam Negara (AG) telah meneliti perkara tersebut dan menutup kes itu selepas mendapati tiada unsur rasuah dibuktikan oleh laman pemberi maklumat Sarawak Report awal tahun ini.

Nazri juga berkata ICAC turut menyiasat kes tersebut tetapi tidak mengambil sebarang tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment