Friday 19 October 2012

NCR LAHIRKAN 2,000 JUTAWAN BUMIPUTERA





MENARIK.... Naroden (tengah) menunggang basikal elektrik yang dipamerkan pada Program CU@Poliku di Politeknik Kuching, semalam. Turut kelihatan Clara (kiri), Md Nor (dua kiri), Jemain (kanan) dan Shamsuria (dua kanan).

Oleh : NICK FLETCHER


KUCHING: Konsep Baharu Pembangunan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) telah melahirkan kira-kira 2,000 jutawan Bumiputera di Sarawak, khususnya menerusi skim penanaman kelapa sawit.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) Datuk Mohd Naroden Majais berkata, penyertaan di dalam konsep pembangunan tersebut diyakini dapat memberikan faedah lumayan kepada pemilik tanah.

“Konsep Baharu Pembangunan Tanah NCR ini merupakan skim berjiwa murni yang dibuat kerajaan khusus kepada mereka di luar bandar yang memiliki tanah, tetapi tidak dibangunkan atau mereka yang tidak mampu untuk membangunkannya.

“Menerusi usaha sama ini, mereka sekurang-kurangnya mendapat untung dengan tanah yang digunakan akan menjadi satu aset penting daripada ia langsung tiada nilai sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan CU@Poliku 2012 di Politeknik Kuching Sarawak (PKS), dekat sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Mejar Kehormat Md Nor Yusof, Pengarah PKS Clara Ong Guat Leng, Timbalan Pengarah Akademik Shamsuria Mohd Ariffin dan Timbalan Pengarah Sokongan Aka-demik Jemain Ental.

Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan Sumber berkata, masyarakat luar bandar di negeri ini harus mengambil kesempatan daripada pembangunan tanah NCR yang disaran kerajaan untuk me-ningkatkan taraf hidup mereka.

“Saya berani mengatakan menerusi Konsep Baharu Pembangunan Tanah NCR, kira-kira 2,000 pemilik tanah yang mempunyai 50 ekar dan ke bawah sekarang memegang aset bernilai jutaan ringgit,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak mempunyai apa-apa niat jahat dalam memperkenalkan konsep tersebut.

“Saya ingin mengajak mana-mana rakyat yang memiliki tanah supaya menyertai konsep baharu ini, serahlah tanah anda kerana kerajaan memang nak bantu untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya di luar bandar.

“Kerajaan tidak merampas apa pun atau untung apa-apa… untung kerajaan ialah rakyat senang dan gembira, itu sahaja. Maka, saya harap tanggapan rakyat bahawa kerajaan merampas tanah sepatutnya tidak timbul lagi,” katanya.

Sementara itu, Program CU@Poliku merupakan satu inisiatif PKS dalam usaha memastikan ia muncul sebagai peneraju pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) yang terunggul, khususnya di negeri ini.

Program dari 12 hingga 20 Oktober ini khusus memberi pendedahan mengenai pengajian bidang kejuruteraan, teknologi maklumat (IT) dan perdagangan serta memupuk budaya inovasi dan keusahawanan dalam kalangan warga PKS, khasnya mahasiswa.

Antara aktiviti yang diadakan ialah Hari Terbuka Kolej Kediaman ‘Ju Berambeh’ @ Poliku, sukaneka, ceramah kerjaya, pameran jabatan dan Hari Bersama Pelanggan, Pertandingan Rancangan Perniagaan, Karnival Niaga, Program Pembudayaan Keusahawanan dan banyak lagi. (UB)

No comments:

Post a Comment