Sunday 14 October 2012

PAKATAN TIDAK MAMPU TAWAN SILAM






Oleh: RIDZAL ABDULLAH

LAHAD DATU: Ketua Umno  Bahagian Silam, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur menegaskan bahawa Umno Silam akan mempertahankan kerusi Parlimen Silam dan ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri(Dun) dengan adanya ahli-ahli yang taat setia.

“Parlimen Silam menjadi antara sasaran pihak pembangkang untuk ditawan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13, namun kita yakin dan percaya rakyat sangat bijak menilai kaca dan permata...kita di pihak Barisan Nasional (BN) akan menyokong sesiapa sahaja yang dicalonkan mewakili BN bagi semua kerusi di Parlimen Silam,”katanya semasa dalam Majlis Jamuan Kesyukuran sempena penyempurnaan projek membaik pulih Masjid Nurul Jihad di Kg.Cocos Batu 6, kelmarin.

Beliau berkata, Parlimen Silam masih kekal sebagai kubu kuat BN, ini jelas terbukti dengan sambutan hambar orang ramai terhadap majlis lawatan rapat umum Pakatan Rakyat yang dihadiri oleh Ketua Umum Pembangkang kelmarin di Lahad Datu.

“Yang datang majoriti bukanlah orang sini, mereka hanya mengumpul ahli-ahli mereka dari seluruh negeri untuk menunjukkan betapa ramainya mereka,walhal kita tidak mengenali wajah mereka,” katanya.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri itu juga mengajak ketua-ketua cawangan dan ahli-ahli Umno Silam untuk meneruskan perjuangan suci bagi memastikan kelangsungan masa depan yang cerah dan terjamin untuk generasi pewaris masa depan mereka.

Nasrun yang juga Pengerusi BN Parlimen Silam kawasan Parlimen Silam amnya dan Lahad Datu khasnya telah menerima pelbagai kemajuan yang pesat tanpa sesekali meminggirkan golongan kurang berkemampuan dengan membantu mereka seperti golongan e-Kasih agar tidak ketinggalan dan hanyut dalam arus pembangunan.

“Kita lihat sahaja negeri yang mereka (Pakatan Pembangkang) tadbir di Selangor,mereka  menjanjikan bulan dan bintang pada PRU-12 namun hingga kini tiada satu dapat direalisasikan hanya tinggal sebagai janji, sebagai contoh ibu tunggal dijanjikan untuk mendapat wang bulanan namun tidak dapat ditunaikan, ini belum cerita pasal isu ‘air percuma’ yang hingga kini tiada jalan penyelesaiannya.

"Rakyat di negeri-negeri pembangkang sudah ‘merasai’ bahana tersalah ‘pangkah’ dan mereka sudah bersedia untuk kembali kepada BN pada PRU-13 ini, mengapa pula kita di Sabah mahu mencuba mempertaruhkan masa depan negara kita kepada pihak yang belum pasti arah tujuan mereka,” tegas Nasrun.

Beliau yang telah menyumbangkan sebanyak RM10,000 untuk membaik pulih Masjid Nurul Jihad menghargai kerjasama dari semua pihak terutama warga Kg.Cocos, Pengerusi JKKK dan masjid kerana dapat menjayakan kerja membaik pulih masjid tersebut.

“Sumbangan peruntukan ini adalah sebagai penghargaan kepada cawangan Umno Kg.Cocos Baru yang telah berjaya menambah ahli mereka dengan begitu cemerlang dan mendapat tempat ketiga bagi Umno Bahagian Silam, selain tanggungjawab kita sebagai sesama muslim,” katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Setiausaha Umno Bahagian Silam, Aljen Johnny; Setiausaha Kerja Umno Silam, Jaliha Iskandar; Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno Silam, Aloyah Habib Ali; Pengerusi JKKK, Hamid Kasuari dan Pengerusi Masjid merangkap Ketua Cawangan Umno Kg.Cocos Baru, Suhaimi Kasuari.

No comments:

Post a Comment