Saturday 20 October 2012

PANTAU BANTUAN AGAR TIDAK DISALAHGUNA





TANGKI AIR...Dato Sri Nasir (dua kiri) menyampaikan Surat Tawaran Bantuan Tangki Air 1Malaysia kepada salah seorang penerima sempena majlis itu di Dewan Kompleks Inabah Kamal, Semporna.

Oleh : ARSHAD HUSSIN



SEMPORNA: Menteri DiJabatan Ketua Menteri, Dato Sri Haji Nasir Tun (Dr.) Sakaran, meminta Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Kampung  sentiasa memantau dan menasihatkan  rakyat tidak menyalahguna kemudahan serta bantuan yang diberi kerajaan sebaliknya dimanfaat untuk keperluan keluarga dan masyatakat kampung.

Katanya, pelbagai bantuan dan sumbangan untuk rakyat merupakan bukti kesungguhan kerajaan membela nasib rakyat serta memenuhi segala keperluan demi meneruskan agenda Tradisi Membela Rakyat dengan konsep 1Malaysia berteraskan Janji Ditepati.

 Nasir menegaskan, sejak dahulu sehingga sekarang, kerajaan tidak pernah berhenti membantu rakyat malah dengan pelbagai program dan bantuan semata-mata untuk mensejahterakan segenap lapisan rakyat tanpa membezakan sukukaum,anutan agama dan juga fahaman politik.

Beliau berkata demikian sempena merasmikan majlis Penyerahan Tangki 1Malaysia bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang di Dewan Serbaguan Inabah Kamal dekat sini.

Sempena majlis itu seramai 453 orang yang terdiri daripada ketua-ketua keluarga  termasuk kaum Tionghua menerima bantuan itu.

Hadirsama sempena majlis itu Pegawai Daerah Semporna,Abdul Muhammad Ibnu Abdul Kadir Baba; Pemimpin Unit Kemajuan Rakyat Kawasan DUN Senallang,Haji Tahir Amir; Ketua Daerah Semporna Kawasan Senallang, OKK Haji Musa Sabaani; Ketua-Ketua/Wakil Ketua Anak Negeri; Ketua-Ketua Kampung; Pengerusi-Pengerusi JKKK dan ahli-ahli parti komponen BN.

Nasir berkata, dari aspek pembangunan daerah itu telah menunjukkan perubahan yang amat ketara termasuk insfrastuktur bekalan air dan elektrik, penurapan jalan gravel hingga ke peringkat kampung, baik pulih rumah, surau dan masjid serta kemudahan asas lain berbanding 20 tahun lalu.

Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Senallang, menjelaskan bagi bantuan Tangki 1Malaysia itu sebanyak 1,200 permohonan diterima dan tapisan serta penelitian dilakukan oleh pihak yang diberi amanah dan tanggungjawab bagi memastikan hanya mereka yang layak serta sangat memerlukan boleh menerima bantuan tersebut.

Sehubungan itu beliau menasihatkan mereka yang belum menerima bantuan itu bersabar kerana kerajaan Barisan Nasional bukan hanya memberi bantuan satu perkara sahaja malah akan sentiasa mendengar keluhan rakyat terutamanya kepada rakyat di kawasan luar bandar.

Sementara itu, Nasir yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Semporna, menyelar segelintir rakyat  yang tidak bertanggungjawab menggunakan laman sosial Facebook, Twitter dan blog menyebar fitnah dan memburuk-burukkan nama baik pemimpin kerajaan dengan pelbagai tuduhan termasuk tuduhan merampas tanah rakyat dan menggunakan wang rakyat sesuka hati.

Nasir berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab ini berselindung di sebalik akaun palsu mempolitikkan apa sahaja isu untuk memesongkan pemikiran rakyat  demi kepentingan politik mereka.

Katanya,rakyat sedar dan tahu menilai yang mana kaca dan intan kerana rakyat selama ini telahpun menikmati pelbagai nikmat pembangunan yang dibawa oleh kerajaan BN dan pemimpinnya yang sentiasa membela nasib rakyat  dengan misi Janji Ditepati sedangkan penyebar fitnah itu hanya tahu bercakap dan tidak berbuat apa-apa untuk kesejahteraan rakyat.

“Mereka hanya tahu mengkritik dan bercakap kosong sambil menuding jari kepada pemimpin-pemimpin kerajaan tetapi tidak berupaya membela nasib rakyat,” kata Nasir.

No comments:

Post a Comment