Saturday 20 October 2012

PARAS TERTINGGI DALAM SEJARAH KLCI





Oleh : NOR BAIZURA BASRI

KUALA LUMPUR : Bursa tempatan yang mencapai beberapa paras tertinggi baharu hari ini, menyaksikan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan tahap tertinggi dalam sejarah pada 1,670.16 mata, kata peniaga.

Pada pukul 5.00 petang, indeks pengukur pasaran itu mengakhiri dagangan 0.93 mata lebih tinggi pada 1,666.35, dalam dagangan bercampur-campur, tetapi kebanyakan sokongan dilihat di kaunter-kaunter telekomunikasi dan perbankan.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata paras tertinggi dalam sejarah yang berterusan dicapai hari ini, sebahagian besarnya, didorong oleh kenaikan saham-saham perbankan yang diterajui oleh Public Bank selepas ia mengumumkan keputusan-keputusan kewangannya semalam.

"Meskipun mencatatkan kenaikan keuntungan yang kecil, namun ini sudah cukup bagi Public Bank menarik pelabur kepada saham-saham perbankan. Dalam senario ini, masih ada saham-saham stabil seperti saham telekomunikasi dan pengguna.

"Saham-saham perbankan akan terus menjadi pemacu dalam pasaran saham tempatan. Memandangkan saham-saham perbankan memberi pengaruh besar ke atas FBM KLCI, ia akan mendorong peningkatan CI ke paras tertinggi baharu," katanya kepada Bernama.

Pong berkata saham-saham perbankan merupakan pilihan utama oleh pelabur kerana saham-saham itu agak murah berbanding saham telekomunikasi dan saham pengguna yang lebih berupaya bertahan dan stabil.

"Kami menyasarkan paras halangan dalam jangka masa terdekat pada 1,675 selepas FBM KLCI berjaya melepasi halangan terdekat 1,670. Kami menjangka FBM KLCI mencecah 1,692 mata menjelang akhir tahun," kata beliau, sambil menambah paras sokongan akan dilihat pada 1,658 mata.

Indeks penanda aras itu, yang dibuka 0.19 mata lebih rendah pada 1,665.23, bergerak turun naik dalam jajaran 1,670.16 hingga 1,665.12 sepanjang hari ini.

Indeks Kewangan meningkat 25.04 mata kepada 14,884.8, Indeks Perladangan naik 9.65 mata kepada 8,195.61 manakala Indeks Perusahaan susut 2.29 mata kepada 2,867.8.

Indeks FBM Emas turun 2.6 mata kepada 11,312.16, Indeks FBM Ace susut 27.03 mata kepada 4,282.79, Indeks FBM 70 jatuh 40.13 mata kepada 12,169.73 dan Indeks FBMT100 luak 1.84 mata kepada 11,151.0.

Saham rugi mengatasi saham untung dengan jumlah 409 berbanding 294 manakala 338 kaunter tidak berubah, 602 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung urus niaga.

Jumlah dagangan bertambah kepada 1.379 bilion saham bernilai RM2.186 bilion, daripada 1.297 bilion saham bernilai RM1.533 bilion semalam.

Dalam Pasaran Utama, jumlah dagangan meningkat kepada 1.148 bilion saham, bernilai RM2.147 bilion, daripada 1.088 bilion unit bernilai RM1.5 bilion.

Pasaran ACE menyaksikan peningkatan jumlah dagangan kepada 188.113 juta saham bernilai RM32.217 juta daripada 166.313 juta saham bernilai RM28.322 juta.

Bagaimanapun, jumlah waran susut kepada 31.755 juta saham bernilai RM2.27 juta daripada 36.113 juta unit bernilai RM2.346 juta, yang dicatatkan sebelumnya.

Astro, yang diniagakan julung-julung kalinya hari ini pada RM3.03 dengan premium tiga sen, gagal mengekalkan momentum meningkatnya dan mengakhiri dagangan di bawah paras harga tawarannya, RM3, dengan 269.74 juta saham bertukar tangan.

Bagi saham cergas lain, Scomi menambah tiga sen kepada 41.5 sen dan KNM-OR menokok setengah sen kepada 16 sen.

Axiata, yang menerajui sumbangan kepada peningkatan FBM KLCI, mengukuh lapan sen kepada RM6.68.

Antara saham-saham berwajaran tinggi, Maybank turun dua sen kepada RM9.09, Sime Darby susut sesen kepada RM9.79, CIMB jatuh tiga sen kepada RM7.62 dan Petronas Chemicals terhakis sembilan sen kepada RM6.56.

Barangan pengguna menguasai 48.187 juta saham yang diniagakan dalam Pasaran Utama, barangan perusahaan 190.094 juta, pembinaan 54.206 juta, perdagangan dan perkhidmatan 696.983 juta, teknologi 42.677 juta, prasarana 14.865 juta, kewangan 38.526 juta, hotel 966,700, harta 34.316 juta, perladangan 14.371 juta, perlombongan 282,500, REIT 12.952 juta dan dana tertutup 27,900. (Bernama)

No comments:

Post a Comment