Sunday 21 October 2012

PAS JAMIN SABAH UNTUK ORANG SABAH






Oleh : NAZRI ABDULLAH

KOTA KINABALU: PAS berpendirian bahawa urusan pentadbiran negeri Sabah harus diserahkan kepada orang Sabah yang lebih mengetahui selok belok permasalahan di sini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sebab itu PAS akan menyerahkan kepada orang Sabah mentadbir negeri ini jika menang pada pilihan raya umum akan datang.

"Orang Sabah lebih tahu 'lorong-lorong' dia. Oleh itu, pentadbiran, pengurusan Sabah, orang Sabah yang mengurus, dia lebih tahu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan penutup pada Konvensyen Politik Baharu Sabah di Star City Convention Centre di sini semalam.

Menurutnya, sudah cukup selama ini rakyat Sabah dipermainkan oleh parti pemerintah demi mengekalkan kuasa mereka bukan sahaja di negeri ini, malah kuasa di pusat.

"Cukuplah Sabah dipermainkan, rakyat dipermainkan. Rakyat dibeli untuk undi pilihan raya. Pemimpin dibeli untuk kekal kuasa di pusat," ujarnya lagi.

Beliau turut menyeru kepada rakyat negeri ini untuk membuat perubahan bersama-sama rakyat Semenanjung demi menuju politik baharu Sabah yang lebih mengutamakan rakyat.

Katanya, PAS dan Pakatan Rakyat telah membuktikan kesungguhan dan komitmen mereka membela nasib rakyat, dalam bidang kuasa yang ada di beberapa negeri yang telah diperintah.

Ianya termasuk di Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang, dan pernah di Perak serta di Terengganu.



 



"Perubahan yang berlaku tidak boleh di Semenanjung sahaja, kena ubah sama-sama. Insya Allah, ini kalilah," katanya lagi.

Di Sabah, PAS juga memberi komitmen serupa iaitu mahu memberi keadilan dan hak kepada rakyat seperti yang dituntut oleh agama Islam.

Islam ujarnya menentang sebarang bentuk kezaliman dan menganggap urusan pentadbiran adalah amanah untuk diurus dengan adil kepada rakyat.

"Tak boleh atasi kemiskinan jika pemimpin anggap harta negeri sebagai harta sendiri. Selagi tak selesai masalah rakyat di peringkat negeri, hasil negeri tidak boleh dipunggah ke pusat," jelasnya.

Sebab itu juga katanya Pakatan Rakyat turut menuntut kenaikan pembayaran royalti darpada 5 peratus kepada 20 peratus.

"Pada kita, 20 peratus sudah boleh selesai masalah rakyat negeri ini. Kalau tak selesai, kena tambah lagi (peratusan) itu," katanya.

No comments:

Post a Comment