Monday 1 October 2012

PAS KESAL ASRNS TIDAK DIPULIHKAN




Oleh: HAMZAH HJ ABDULLAH

PAS Sabah merasa kesal dengan pembentangan Bajet 2013 yang langsung tidak mengembil kira hak kebajikan rakyat Negeri ini. Bagi pihak rakyat Sabah, saya telah meneliti kandungan Bajet yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan dan merumuskan bahawa yang akan 'kenyang' daripada dentuman Bajet ini hanya pemimpin UMNO/BN.

Rakyat Sabah, khususnya pribumi Sabah, yang rata-rata masih berada di bawah paras kemiskinan hanya bakal menerima tangki-tangki air dan keperluan asas yang hanya  boleh bertahan paling lama 8 bulan.

40,000 tangki air 1Malaysia yang bakal diageh-agehkan kepada orang kampung hanya 'menggemukkan' pembekal yang tentunya kroni-kroni UMNO/BN dan mempunyai saham dalam bentuk komisyen. Tangki air ini hanya mempunyai jangkahayat paling lama 8 bulan kerana daripada jenis berkualiti rendah.

BN sewajarnya tidak berfikir bahawa rakyat masih bodoh dan boleh diperbodohkan seperti zaman sebelum wujudnya ICT. Sekarang kita berada pada era maklumat berada di hujung jari.

Rakyat Sabah masih tidak lupa dengan teguran Ketua Audit Negara bagaimana peralatan sekolah dan alat kelengkapan tentera seperti teropong telah dibeli dengan harga sehingga melonjak 1,000% dari harga asal! Ini lah yang mesti rakyat fikir dan usah teruja terhadap pembentangan yang masih jauh daripada jangkauan kita.

PAS Sabah menuntut supaya dipulihkan semula Amanah Saham Rakyat Negeri Sabah (ASRNS) atau popular dengan panggilan Amanah Saham Tun Mustapha yang telah diasaskan oleh Bapa Kemerdekaan Sabah, Almarhum Tun Mustapha di era pemerintahan USNO.

Almarhum Tun Mustapha adalah pemimpin Sabah pertama yang mempunyai ciri-ciri pemimpin seorang yang berjiwa rakyat dan menitikberatkan kebajikan rakyat Sabah. Di zaman Tun Mustapha jugalah pelajar-pelajar Sabah yang cemerlang dalam peperiksaan Senior Cambridge akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke UK atau Australia dengan pembiayaan wang Yayasan Sabah, yang mempunyai konsesi balak pemberian Kerajaan Negeri.

Almarhum Tun Mustapha juga telah menggunakan wang kerajaan Negeri bagi membiaya kos menunaikan haji bagi jemaah haji Sabah, termasuk membiayai guru-guru agama yang bertauliah untuk mengajar di sekolah-sekolah agama seluruh Sabah.

PAS Sabah menuntut supaya Datuk Pairin mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas pemansuhan Amanah Tun Mustapha kerana di zaman PBS lah amanah saham ini telah dimansuhkan!

PAS Sabah seterusnya mencabar Pairin supaya 'cakap serupa bikin' kalau benar dia bersetuju dengan slogan 'rakyat didahulukan'. Ini masanya kehendak rakyat diutamakan memandangkan Datuk Pairin masih berkuasa di dalam kerajaan UMNO/BN Sabah.

PAS Sabah menuntut supaya pembayaran amanah saham ini dibuat dengan mengambil kira tahun ia dimansuhkan iaitu sekitar tahun 1988. Ertinya rakyat Sabah berhak mendapat saham ini  untuk tempoh tertunggak sejak 1988 yang bererti selama 24 tahun.

Kalau setiap tahun rakyat Sabah yang layak mendapatnya berjumlah RM200 setiap tahun, maka setiap seorang rakyat yang layak mesti diberikan hak mereka berjumlah RM4,800!

PAS Sabah akan membawa isu ini ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Pakatan Rakyat yang akan datang agar diterima sebagai sebahagian daripada Manifesto Pilihanraya.

3 comments:

  1. Apa pun kita dengar yang mana ARNS ini akan dilaksanakan semula. Kita tunggu saja.

    ReplyDelete
  2. Ini menandakan kerajaan memang prihatin untuk membantu rakyat Negeri ini. Semoga kerajaan akan terus melakukan yang terbaik untuk rakyat.

    ReplyDelete
  3. Buktikan kepada rakyat yang mana Kerajaan BN adalah kerajaan yang terbaik untuk semua rakyat di Malaysia ini.

    ReplyDelete