Monday 29 October 2012

PAS TUBUH TRIBUNAL TANAH JIKA PR MENANG





Oleh: HJ. HAMZAH HJ ABDULLAH

PAS Sabah mengikuti dengan serius pergolakan yang melanda para peneroka di Koyah A, Kinabatangan, di mana hak pemilikan ke atas tanah-tanah mereka telah dirampas secara licik oleh individu dan pemilik syarikat yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pemimpin-pemimpin atasan UMNO/BN.

Bagi pihak PAS Negeri Sabah, saya menegaskan bahawa isu ini telah berlarutan selama lebih 20 tahun dan saya telah turut terlibat membantu para peneroka untuk mendapatkan semula hak-hak mereka seawal tahun 1994 lagi serta telah beberapa kali berusaha mengadakan pertemuan di antara para peneroka dengan 'penceroboh'  tanah ini yang juga terlibat dalam operasi kuari haram di Silam, Lahad Datu.

Namun, usaha-usaha yang saya lakukan ini telah gagal kerana 'penceroboh' tanah ini enggan bertemu dengan para peneroka. Setelah meneliti Ahli Lembaga Pengarah syarikat yang dimiliki 'penceroboh' tanah ini, maka saya membuat satu kesimpulan yang tepat bahawa di dalam syarikat tersebut terdapat beberapa pemimpin UMNO yang berpengaruh memiliki saham serta duduk sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Di sinilah punca sebenar kenapa masalah ini tidak boleh selesai dan telahpun berlanjutan selama lebih 20 tahun. 'Penceroboh' tanah ini juga memiliki Sijil Anak Negeri dan mendakwa beliau sebagai seorang pribumi. Tetapi rekod-rekod dokumen kelahiran beliau mengesahkan bahawa beliau dan juga ayah beliau adalah seorang pendatang dari Fujian, China. Rekod dokumen peribadi beliau juga telah disiarkan dalam beberapa blog khususnya Sabahkini.net

Tanah di kawasan Koyah A ini adalah anugerah Kerajaan BERJAYA yang Ketua Menterinya masa itu ialah Datuk Harris Salleh dengan matlamat utama supaya diusahakan  oleh para peneroka yang sebahagian besarnya adalah petani dari kelompok Bumiputera Sabah yang berada di bawah paras miskin.

Masalah pencerobohan tanah di Koyah A ini timbul dizaman kerajaan PBS yang Ketua Menterinya masa itu ialah Datuk Pairin Kitingan. Hampir 1 juta ekar tanah-tanah pekebun kecil anugerah Kerajaan BERJAYA ini  telah dirompak oleh tauke-tauke kroni di zaman PBS dengan cara menukarkannya kepada geran besar, dan terus berlanjutan hingga saat ini.

Jadi, kalau tanah-tanah peneroka ini dirompak di zaman PBS yang dipimpin oleh Datuk Pairin Kitingan satu ketika dulu, maka persoalannya ialah di mana pula kedudukan Datuk Pairin sekarang? Maka, saya katakan kepada para peneroka, kalaulah mereka mahu mendapatkan semula hak pemilikan keatas tanah-tanah mereka, pilihan yang ada ialah dengan menumbangkan kerajaan UMNO/BN yang ada sekarang ini, yang jelas telah mengkhianati amanah rakyat Negeri ini, dalam PRU 13 akan datang.

PAS Sabah akan menubuhkan satu tribunal bagi maksud menghadapkan Pengarah Jabatan Tanah pada masa berlakunya penyelewengan ke atas para peneroka sehingga hak pemilikan mereka ke atas tanah di Koyah A telah dinafikan, jika ditakdirkan Pakatan Rakyat menguasai tampuk pemerintahan Negeri Sabah dalam PRU 13 ini.

Tribunal ini akan mempunyai bidang kuasa melakukan siasatan serta kuasa memutus yang boleh memuktamadkan arahan memulangkan kembali geran-geran tanah tersebut bukan sahaja kepada para peneroka di Koyah A malah di banyak tempat lain seperti di Segaliud, Paitan, Beluran, Telupid, Merotai, Tongod dan Keningau.

Saya yakin Pengarah Jabatan Tanah telah bertindak di luar bidangkuasanya apabila membenarkan geran-geran bertaraf 'smallholder' yang tidak melebihi 15 ekar telah di tukar (converted) menjadi geran besar (grand title/parent title) dan meluluskannya kepada syarikat 'penceroboh' ini.

Saya pasti ada sesuatu imbuhan yang diterima oleh pihak yang bertanggungjawab meluluskan penukaran geran tanah ini kepada dari 'smallholder' kepada 'grand/parent title'. Hanya masa dan tempat akan menentukan kedudukan sebenarnya.

(NOTA : Hj. Hamzah Hj Abdullah merupakan YDP PAS Batu Sapi Merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah)

No comments:

Post a Comment