Friday 12 October 2012

PBR MENAMPILIK RUNTUH AKIBAT RIBUT





Oleh : MEOR HAFIZAN B. ABDUL GHANI

MERUJUK kepada posting Sabahkini.net yang bertajuk 'Kenapa KKLW Mangsakan Rakyat Miskin' bertarikh 3 Oktober 2012, terdapat kesilapan maklumat dan ketidak tepatan fakta yang diberikan pengadu.

Program Bantuan Rumah (dikenali PBR dan bukannya PPRT) di Pulau Menampilik, Semporna, Sabah dilaksanakan melalui pembiayaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW); manakala tenaga kerja daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan 3 (NBOS3) yang mampu menjimatkan masa pelaksanaan dan mengurangkan kos pembinaan.

Sebanyak 10 unit rumah yang dibina secara gotong-royong oleh ATM dan penduduk kampung melalui seliaan kualiti oleh Rejimen Jurutera Diraja (RJD) telah berjaya disiapkan dan diserahkan kepada penduduk pada 20 April 2012.

Hasil Penemuan

Laporan daripada ATM dan Pejabat Daerah Semporna pada 24 September 2012 memaklumkan bahawa terdapat 5 unit rumah PBR, jeti dan titian utama Pulau Menampilik telah runtuh.
Faktor Kejadian

Satu kejadian ribut luar biasa telah melanda pulau berkenaan pada 15 September 2012. Perkara ini disahkan oleh Jabatan Meterologi Malaysia Cawangan Sabah melalui surat JMM bertarikh 4 Oktober 2012, menyatakan dengan jelas bahawa terdapat kejadian ribut di sekitar daerah Semporna pada jam 11.00 malam.

Jelas sekali bahawa kejadian ribut kencang telah meruntuhkan unit PBR berkenaan dan bukannya disebabkan oleh kegagalan struktur rumah akibat kualiti bahan atau mutu kerja yang rendah.

Tindakan Segera

KKLW telah pun meminta ATM dan Flying Squad KKLW membuat laporan penilaian kerosakan sebagai persediaan membantu membaik pulih infrastruktur dan rumah PBR berkenaan.

Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas siaran kenyataan media ini di laman web Sabahkini.net.

(NOTA : Maklumbalas ini diterima daripada Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, PUTRAJAYA)


No comments:

Post a Comment