Friday 12 October 2012

PEMAJU MUKIM TIPU 400 PEMILIK TANAH?






PENDEDAHAN…Peguam Aisah mendedahkan Abdullah Japar menipu 400 orang pemilik tanah Sg Koyah B, Kinabatangan.

Oleh : SAIMON S JUMADI             Foto : SAFFIE S JUMADI

SERAMAI 400  orang pemilik tanah Sungei Koyah Fasa I, II dan III Kinabatangan mendesak pihak berkuasa menangkap seorang broker tanah yang telah menipu mereka sehingga tanah yang mereka usahakan terlepas milik kepada pihak ketiga.

Salah seorang mangsa, Satta Binti Umbi, 65, memaklumkan bahawa beliau terkejut setelah namanya didedahkan 'Telah Meninggal Dunia' di hadapan 150 orang pemilik benefisiari dan pewaris tanah tersebut oleh Peguambela dan Peguamcara daripada Tetuan Aisah Ahmad & Co; yang telah dilantik untuk menuntut tanah-tanah tersebut.

Pendedahan berkenaan dibuat semasa Sidang Akhbar dengan  para media  RTM, TV3 Sabahkini.Net serta akhbar tempatan lain yang bertemakan “Bersatu Berjuang dan Mempertahankan Hak” oleh Ahli-Ahli Skim Pekebun Kecil Sungei Koyah A Kinabatangan bersama Penasihat Undang-Undang, Aisah Ahmad yang mewakili 400 orang mangsa  penipuan di Dewan Masyarakat Sandakan, kelmarin.

Dalam pendedahan tersebut, Aisah telah menyebut penipuan berkenaan dilakukan oleh Pemaju Mukim DUN Sukau, Abdullah Japar, melalui modus operandi tuntutan  waris palsu; termasuk mendakwa Satta Binti Umbi telah meninggal dunia pada tahun 1999 melalui Surat Kuasa (Power Authony) palsu untuk menjual tanah-tanah tersebut kepada salah sebuah syarikat.




WAWANCARA…Sabahkini.Net sedang menemubual Satta Umbi yang dilaporkan meninggal dunia.

Kata Aisah lagi, Satta langsung tidak mengenali siapa Abdullah Japar yang sebenarnya kerana dia berani membuat tuntutan waris tanah tersebut, sedangkan Satta masih hidup lagi dan dalam keadaan sihat walafiat.

Aisah menambah kes penipuan yang dilakukan oleh Abdullah Japar sudahpun dilaporkan kepada pihak Polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia  (SPRM)  tetapi sehingga sekarang, polis gagal menjalankan siasatan dan SPRM terus membisu seribu bahasa.

Sehubungan itu, Aisah mendesak agar Ketua Menteri Sabah, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Pegawai Daerah Kinabatangan dan ADUN Sukau agar membantu menyelesaikan masalah tanah seluas 6,000 ribu ekar di bawah Skim Pekebun Kecil Sungai Koyah.

Tindakan Abdullah Japar yang kononnya dilantik bagi mewakili seramai 400 orang pemilik tanah yang dimaksudkan dalam urusan jual beli, tetapi sebenarnya satu muslihat yang berbentuk penipuan untuk mengaut keuntungan peribadi.

“Sebagai Penasihat Undang-Undang dan Penguambela Peguamcara yang dilantik oleh 400 orang pemilik tanah, tidak akan berdiam diri selagi polis dan SPRM gagal menjalankan siasatan dan menangkap Abdullah Japar," kata Aisah lagi.





WANTED......Inilah wajah sebenar Abdullah Japar yang menipu Satta Umbi.

Sehubungan itu, Aisah memberi tempoh 14 hari daripada kelmarin untuk polis dan SPRM Sabah mengambil tindakan kerana selepas tempoh tersebut, pihaknya akan membuat laporan rasmi di Bukit Aman dan SPRM Putrajaya.

Kata Aisah lagi, perbuatan Abdullah Japar sebagai seorang penjawat awam iaitu Pemaju Mukim adalah tidak wajar kerana beliau sepatutnya menjaga hal ehwal rakyat di kawasan Sukau.

"Tindakan ADUN Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman melantik Abdullah sebagai Pemaju Mukim adalah perbuatan bersubahat dan wajar dihentikan segera," kata Aisah yang kesal kerana Kerajaan BN mengabaikan kepentingan rakyat.

No comments:

Post a Comment