Monday 22 October 2012

PEMIMPIN PEMBANGKANG BERMIMPI JAWATAN





Oleh : MOHD NASRI ZAKARIAH

KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berani menunjukkan Kabinet Bayangan Pakatan Pembangkang kerana semua parti dalam pakatan tersebut telah dijanjikan pelbagai jawatan dalam kabinet termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Idris Haron berkata itu sememangnya pendekatan politik Anwar  yang sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai cita-cita tinggi beliau yang begitu kemaruk jawatan Perdana Menteri.

Justeru beliau menyifatkan janji Anwar itu tidak lebih daripada sekadar janji kerana sudah banyak kali beliau (Anwar) membuat janji namun semuanya nanti sekadar satu pembohongan seperti apa yang pernah dinyatakan dahulu bahawa pakatan pembangkang akan menawan Putrajaya pada 16 September 2008.

“Janji Anwar bukan cerita baru, sudah banyak kali kita dengar beliau berjanji tetapi satu pun tidak jadi kenyataan, dan janji yang terbaru ini tidak lebih daripada sekadar gimik beliau dalam mengahadapi pilihan raya umum nanti.

“Beliau terpaksa bertindak sedemikian untuk meredakan keresahan di kalangan parti dalam pakatan pembangkang terutama dalam menentukan jawatan yang patut disandang dalam kabinet bayangan jika mereka menawan Putrajaya.

“Seperti biasa Anwar tidak akan mengakui semua itu dan menyatakan bahawa sehingga kini mereka tidak mempunyai kabinet bayangan dan menuduh UMNO serta Barisan Nasional sengaja mengada-adakan cerita berhubung kabinet bayangan pakatan pembangkang,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Melaka berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Anwar yang terus mengambil sikap berdiam diri apabila dicabar banyak pihak untuk menampilkan senarai kabinet bayangan pakatan pembangkang sekiranya mereka menang pilihanraya umum akan datang.

“Ramai nak tahu apa kedudukan pemimpin-pemimpin parti pembangkang lain dalam kabinet termasuk wakil dari Sabah dan Sarawak. Sudah banyak kali dan banyak pihak cabar beliau didedahkan.. kenapa Anwar mengelak dan cuba berputar belit.  Apa yang dia takut sangat melainkan kalau dia sudah banyak berjanji dengan ramai pemimpin pakatan tentang jawatan-jawatan yang akan mereka sandang”, katanya.

Menurutnya, semakin hampir dengan pilihan raya, pelbagai janji akan didengari daripada pakatan pembangkang untuk mengaburi rakyat ini termasuk dalam manifesto mereka nanti ketika menjelang tarikh pilihan raya. (MediaUMNO)

No comments:

Post a Comment