Friday 26 October 2012

PENAN TETAP PERTAHANKAN TANAH ADAT





Oleh : AHMAD FADLI KC
             
MURUM adalah kawasan pedalaman dipenuhi hutan khatulistiwa dan mengambil masa perjalanan selama lebih empat jam dari pekan Bintulu, Sarawak. Atas nama pembangunan, kerajaan negeri Sarawak bertindak memajukan Murum dengan meluluskan lesen pembalakan, membenarkan tanaman kelapa sawit diusahakan dan kini melaksanakan projek empangan hidroelektrik Murum.

Pada masa sama, kawasan itu juga menempatkan lapan kampung rumah panjang kira-kira 1,400 etnik Penan.

Berhadapan dengan penempatan semula akibat projek empangan Murum, mereka kini bertindak menghadang jalan masuk ke projek empangan berkenaan. Wartawan Malaysiakini berkunjung ke Murum dan menemubual etnik Penan di situ.

Menurut Senang Kalang, 27 tahun, beliau tetap akan mempertahankan tempat tinggal dan tanah adat mereka itu.

"Kami tidak pernah takut. Mati dengan kebenaran lebih mulia dari hidup sebegini," katanya tegas.

Menurutnya, kerajaan Sarawak tidak pernah melibatkan mereka dalam perbincangan untuk memajukan kawasan itu.

Katanya, mereka hanya didekati pemaju projek berkenaan selepas kerja-kerja awal pembinaan dijalankan.

"Mereka pernah tanya kami (jika kami setuju). Kami kata tak mahu," kata Senang (kiri) yang berkhemah di tapak hadangan sejak 25 September lalu.

Pemaju empangan, Sarawak Energy Berhad menandatangani perjanjian mengiktiraf etnik Penan sebagai pemilik tanah adat di kawasan itu.

Namun, pergeseran timbul kerana pemaju bersetuju membayar pampasan pelah daleh (pampasan pecah tanah) dan pemali (pampasan menceroboh) tetapi kerajaan negeri tidak bersetuju dengan tuntutan lain etnik Penan.

Mereka antara lain menuntut RM500,000 setiap keluarga untuk kehilangan tanah adat; tanah 30,000 hektar untuk setiap kampung, tanah 25 hektar untuk setiap keluarga berkebun, pendidikan untuk kanak-kanak, tabung pembangunan masyarakat dan hak ke atas tanah mereka yang tidak akan ditenggelamkan untuk empangan.

Masalah tersebut diburukkan lagi dengan masalah kewarganegaraan Penan yang tidak mempunyai kad pengenalan.

Menurut Laporan Penilaian Impak Sosial dan Persekitaran Projek Empangan Hidroelektrik, hanya 60 peratus daripada isirumah etnik Penan mempunyai sijil kelahiran.

Namun, daripada jumlah yang sama lebih 80 peratus masih tidak mempunyai kad pengenalan.

Laporan yang sama juga menyebut bahawa 41 peratus daripada yang tiada kad pengenalan telah memohonnya pada tahun 2009 lagi tetapi masih tidak menerimanya sehingga kini.

Menurut Senang yang tinggal di rumah panjang Long Luar, mereka ada dikunjungi pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara.

Namun dakwanya pihak JPN berdolak-dalih dalam memberikan mereka kad pengenalan selepas permohonan dibuat.

"Berapa kali datang buat IC rumah kami, IC tak siap-siap. Kita bawa resit (IC sementara) mereka kata tunggu-tunggu (IC) ini ada di JPN Asap. Kita bawa resit ke Asap pula mereka kata tunggu-tunggu ini ada di Bintulu," keluhnya.

Tinjauan Malaysiakini ke atas sijil kelahiran kanak-kanak Penan mendapati sebahagian besar kolum 'kewarganegaraan' mereka dicatat sebagai 'BELUM DITENTUKAN'.

Menurut tuai rumah panjang Long Jaik, Matu Tugang, perkara itu berlaku kerana ibu-bapa kanak-kanak Penan juga sebahagian besarnya tidak diiktiraf sebagai warganegara.

Perkara itu katanya menyukarkan proses pendaftaran sekolah mereka jika mereka mahu bersekolah.

"Kami memang mahu kanak-kanak pergi sekolah bukan tak mahu," katanya yang sedih dengan ketiadaan sekolah berhampiran kawasan rumah panjang mereka.

Senang yang bernasib baik kerana mempunyai kad pengenalan kedengaran kesal dengan layanan kerajaan kepada mereka.

"Dulu memang kami sokong kerajaan sekarang kami tidak tahu mahu pilih mana.  Siapa yang kami bakal pilih kami tidak tahu. Bukan kami tolak kerajaan, kerajaan yang tolak kami," katanya.

No comments:

Post a Comment