MANILA : Datuk Seri Najib
Tun Razak berkata perjanjian rangka kerja antara kerajaan Filipina dan Barisan
Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi penubuhan wilayah autonomi Bangsamoro
merupakan peluang memastikan penduduk wilayah itu dapat menikmati manfaat
keamanan yang memang mereka berhak.
Bercakap pada majlis
menandatangani perjanjian bersejarah itu di Dewan Rizal di Istana Malacanang di
sini hari ini, Perdana Menteri berkata perjanjian tersebut merupakan peluang
untuk mengembalikan semula martabat penduduk wilayah selatan Filipina selepas
dibelenggu pergolakan ganas lebih 40 tahun di wilayah itu.
Memberi jaminan kepada
rakyat Filipina bahawa Malaysia akan berdiri bersama mereka dalam memastikan
rangka kerja perdamaian berjalan lancar, Najib semasa ucapan 15 minit itu
berkata Kuala Lumpur sedia membantu sebagai rakan kepada perdamaian tersebut.
“Adalah menjadi harapan
besar saya bahawa perjanjian ini membawa kepada era kesederhanaan baru yang
mana amalan agama dan hak untuk hidup bersama tidak lagi menjadi isu konflik.
Penduduk pelbagai agama dapat hidup bersama secara aman di bawah satu
perlembagaan.
“Perjanjian yang kita
saksikan pada hari ini menandakan permulaan era baru di selatan Filipina. Saya
mengucapkan tahniah kepada semua yang menjayakan usaha ini dan saya tidak sabar-sabar
untuk melihat perjanjian muktamad nanti,” katanya yang menyaksikan majlis itu
bersama Presiden Filipina Benigno Aquino III.
Perjanjian Rangka Kerja
menjadi pelan damai bagi penubuhan wilayah autonomi Bangsamoro bagi
menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao.
“Rangka kerja ini mengakhiri
keganasan yang mengorbankan banyak nyawa dan memendekkan banyak peluang masa
depan. Ia akan melindungi hak penduduk Bangsmoro dan memelihara kedaulatan dan
integriti wilayah Filipina. Ia adalah tapak asas yang kukuh di mana keamanan
berkekalan boleh dibina,” kata Najib dengan disambut dengan tepukan gemuruh
oleh para hadirin.
Majlis menandatangani itu
pada pukul 3 petang waktu tempatan itu didahului dengan lagu kebangsaan
Filipina diikuti bacaan doa mengikut cara Islam dan Kristian. Terdahulu,
ketibaan Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Istana Malacanang
disambut oleh Presiden Benigno.
Kemudian Najib diberi
sambutan rasmi dengan penghormatan memeriksa barisan kehormat Pengawal Presiden
di perkarangan istana. (Bernama)
No comments:
Post a Comment