Monday 22 October 2012

PENGUASAAN BAHASA ASING PENTING






KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Haji Mahiruddin berkata, penguasaan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris, pengalaman dan etika adalah antara kriteria penting dalam pengambilan siswazah sebagai tenaga kerja.

Sehubungan itu beliau menyeru golongan siswazah supaya mempertingkatkan penguasaan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris bagi memudahkan mereka bersaing di pasaran kerja.

“Kajian membuktikan bahawa kriteria penting dalam pengambilan siswazah sebagai tenaga kerja adalah bergantung kepada pengalaman, etika dan penguasaan bahasa-bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris.

“Jika kita ingin mempertahankan kemajuan dalam era globalisasi ini, pergaulan kita dengan bangsa-bangsa lain hendaklah maju dan penguasaan bahasa adalah kunci kepada pengekalan kemajuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-14, di Dewan Canselor UMS, di sini, kelmarin.

Turut hadir Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Tun Juhar berkata, kejayaan para graduan memiliki segulung ijazah adalah langkah awal untuk mencapai kejayaan yang lebih besar di masa hadapan.

“Kemampuan anda menyesuaikan diri serta mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang anda perolehi amat penting bagi menentukan kejayaan berterusan dalam persaingan di pasaran pekerjaan. Selain itu anda juga perlu mempunyai ketahanan diri dan mental bagi mengharungi arus globalisasi,” katanya.

Beliau berkata, di samping mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang tertentu, para graduan juga harus mempunyai soft skills iaitu meningkatkan kemahiran berkomunikasi, berurusan secara diplomasi dan mengekalkan budaya Malaysia.

“Namun mengamalkan nilai-nilai budaya yang murni tidak bermaksud kita sanggup dipijak, kerana maruah dan jatidiri kita harus sentiasa dipertahankan,” katanya.

Tun Juhar berkata, dalam usaha mencapai status sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020, pelbagai usaha dan perancangan transformasi telah dirangka dan dilaksanakan oleh kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, antaranya Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

Katanya, kedua-duanya pelan perancangan pembangunan itu bersifat modeniti bertujuan mempersiapkan Malaysia menjadi sebuah negara bangsa yang utuh dari segi keupayaan fizikal dan berpendapatan tinggi dan secara tidak langsung kekal bersaing serta releven dengan negara bangsa yang lain.

“Bagaimanapun secara peribadi, saya melihat setiap perancangan pembangunan yang bersifat holistik dan konstruktif tidak mampu diwahanakan tanpa disokong oleh modal insan yang berjiwa besar dan mandiri lokal.

“Justeru, UMS harus mempunyai satu rangka pembangunan modal kemanusiaan bagi menyokong hasrat kerajaan itu untuk melahirkan generasi yang berpengetahuan, bijaksana dan mempunyai nilai-nilai kenegaraan.

“Penghasilan modal kemanusiaan seumpama itu amat penting dalam alaf ke-21 yang penuh dengan cabaran dan ketidaktentuan,” katanya.

Tun Juhar berkata, fakta menunjukkan negara yang tidak mempunyai modal kemanusiaan yang tinggi akal budi bakal berhadapan dengan keruntuhan.

Oleh itu katanya semua warga UMS mesti berganding bahu dan bersatu padu mengembleng tenaga bagi memastikan hasrat negara itu dapat dicapai.

“UMS mesti bersama-sama dengan kerajaan dan seluruh lapisan masyarakat bukan sahaja menyokong penuh agenda transformasi negara, tetapi berganding bahu memastikan falsafah dan agenda pendidikan negara menjadi kenyataan.

“Saya percaya UMS di bawah teraju kepimpinan Naib Canselor yang baru mampu menggalas cabaran bagi memastikan UMS dapat memainkan peranan yang konstruktif dalam agenda transformasi pembangunan Malaysia,” katanya.

Berkenaan dengan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Kerja Sosial kepada Tan Sri Lee Lam Thye, Tun Juhar berkata: “Ia tidak setimpal dengan sumbangan yang telah dicurahkan oleh beliau kepada pembangunan negara, kerana Tan Sri adalah tokoh sosial yang terkenal dengan keprihatinan terhadap keberadaan masyarakat, khususnya kesejahteraan dan keselamatan pekerja di Malaysia.

Katanya, jasa Lee Lam Thye, lebih besar daripada sekeping ijazah dan “saya percya beliau akan terus memberi sumbangan intelektual dan perjuangan sosial kepada pembangunan negara kita”.

No comments:

Post a Comment