Monday 15 October 2012

PENGURUSAN KEWANGAN 2011 LEBIH BAIK





BAIK.....Ambrin berkata pengurusan kewangan tahun 2011 lebih baik dari 2010.

Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

KUALA LUMPUR : Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang hari ini berkata pengurusan kewangan agensi kerajaan telah mencatatkan prestasi yang lebih baik pada 2011, berbanding tahun sebelumnya.

Pada tahun lepas, Ambrin berkata kutipan hasil Kerajaan Persekutuan turut menunjukkan peningkatan RM25.77 bilion dengan jumlah keseluruhan kutipan sebanyak RM185.42 bilion berbanding tahun 2010 iaitu sebanyak RM159.65 bilion.

“Kenaikan harga petroleum mentah dunia, perkembangan ekonomi domestik yang kukuh serta aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan berterusan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam menyumbang kepada peningkatan hasil,” katanya

Dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada pemberita di Parlimen hari ini, beliau berkata daripada keseluruhan agensi kerajaan yang telah dinilai pada tahun 2011, 111 buah (31.4 peratus) daripadanya mendapat penarafan ‘Sangat Baik’(Empat Bintang), berbanding 77 buah (21.6 peratus) pada tahun 2010 dan 48 (12 peratus) pada tahun 2009.   

Jelas Ambrin, Jabatan Audit Negara telah melaksanakan sistem penarafan yang berasaskan kepada IA 2007 yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Wajib dan Kategori Giliran, bagi menilai sejauh mana pengurusan kewangan kerajaan dan agensi dibawahnya telah mematuhi undang-undang dan peraturan kewangan kerajaan.

“Pencapaian ketara ini menunjukkan pelaksanaan Indeks Akauntabiliti(IA) telah memberi dorongan kepada Pegawai Pengawal untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap pengurusan kewangan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Ambrin berkata berdasarkan kepada pengauditan terhadap 456 Penyata Kewangan tahun 2011 terhadap kerajaan dan agensi dibawahnya, sebanyak 388 daripadanya telah diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran.

“Manakala 25 penyata kewangan telah diberikan Sijil Audit Berteguran kerana terdapat beberapa piawaian perakaunan yang tidak dipatuhi sepenuhnya dan baki 43 penyata kewangan masih dalam proses pengauditan,” katanya lagi.

Berbanding 2010, sebanyak 368 penyata kewangan telah diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran dan 33 penyata kewangan diberi Sijil Audit Berteguran.

Selain itu, seperti tahun-tahun sebelumnya, beliau berkata setiap ketua jabatan yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu tentang perkara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk tujuan pengesahan.

 “Jabatan Audit Negara juga telah mengemukakan 547 syor memperbaiki kelemahan kepada Kerajaan Persekutuan, 97 Badan Berkanun Persekutuan dan 534 Kerajaan Negeri bagi tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.”

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2011 itu juga akan diedarkan kepada anggota Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dibentangkan tahun lalu menyaksikan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) didedahkan apabila laporan tersebut mengatakan projek lembu fidlot yang diusahakan keluarga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil “tidak menepati piawaian.”


No comments:

Post a Comment