Thursday 25 October 2012

PINDA KAD MERAH UNTUK 'FAIR PLAY'





Oleh : MOHD HISYAMMIEDDY BIN ESA

"KEPUTUSAN untuk menghentikan perlawanan 'persahabatan' antara pilihan Sabah dan Cebagoo FC selepas hanya 30 minit di padang bolasepak Institut INTAN pada 3 Oktober 2012 lalu adalah wajar," menurut Mohd Joh Hj Wid yang merupakan Presiden Cebagoo FC (akan bersaing dalam Liga FAM 2013).

Beliau menjelaskan tindakan memanggil pemain-pemainnya meninggalkan padang selepas Reithuddin Ag Emran (bekas pemain Sabah yang ditamatkan kontrak tahun ini) disingkir oleh pegawai perlawanan.

"Saya difahamkan bahawa ia sepatutnya menjadi satu perlawanan untuk mengukur kemampuan pemain dari kedua-dua pasukan dan menyaksikan seorang pemain disingkir begitu awal dalam perlawanan itu, saya kira ada keperluan untuk menghentikan perlawanan bagi mengelakkan sebarang salah faham antara pemain yang boleh mendorong perkara lebih tegang."

Insiden ini telah membuka minda saya ke arah perjuangan permainan yang lebih adil dalam sukan (Fair Play).

Undang-undang permainan atau pertandingan bola sepak yang membenarkan pengadil melayangkan kad merah ke atas pemain yang melakukan kekasaran melampau dan kesalahan teknikal yang disengajakan memang wajar hanya untuk pemain berkenaan sebagai pengajaran.

Tetapi implikasi kehilangan seorang atau lebih pemain dalam pasukan sudah tentu menjejaskan keadilan (Fair Play) dalam pertandingan. Walaupun tidak mustahil 9 atau 10 orang pemain dalam pasukan mengalahkan 11 pemain dalam 1 pasukan, tetapi ia merupakan satu tugas yang sukar dan memerlukan tenaga berlebihan yang mungkin akan menjejaskan kesihatan pemain.

Untuk memberikan keadilan kepada pasukan yang bertanding, pindaan peraturan kad merah ini perlu dibuat dengan menggantikan pemain yang dibuang padang tadi dengan pemain gantian agar 11 lawan 11 berlangsung sepanjang tempoh perlawanan.

Dengan ini, saya mencadangkan kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) agar dapat mengusulkan cadangan ini kepada AFC dan FIFA.

(NOTA : Mohd Hisyammieddy Bin Esa merupakan Pengasas Gagasan Pemikir  Suara Rakyat Tempatan -SURAT)

No comments:

Post a Comment