Friday 26 October 2012

PINDAAN ENAKMEN HUTAN 1984 LULUS





KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan pindaan Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) 1984 untuk membubarkan, menubuhkan, mengelaskan dan mengelaskan semula Hutan-Hutan Simpan di beberapa kawasan di negeri ini.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Radin Malleh ketika membentangkan Rang Undang-Undang Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) (Pindaan 1) 2012 berkata, ini bertujuan menyempurnakan hasrat kerajaan untuk membubarkan seluas lebih kurang 4,560.20 hektar hutan simpan kekal negeri melalui kaedah landswap dengan tanah kerajaan; menubuhkan seluas lebih kurang 4,642.68 hektar Hutan simpan kekal negeri yang baru bagi menggantikan hutan simpan yang telah dibubarkan; mengkelaskan semula tiga (kawasan Hutan Simpan Kelas II (Komersial) dengan jumlah keluasan 176,780.00 hektar kepada Hutan Simpan Kelas I (Perlindungan).

Katanya, Hutan Simpan yang akan dibubarkan melibatkan tujuh kawasan hutan simpan iaitu dua di Semporna seluas 708 hektar di Hutan Simpan Tanjong Nagas Kelas I (Perlindungan) dan seluas 1,388 hektar kawasan Hutan Simpan Mount Pock Kelas I (Perlindungan) yang akan dikeluarkan bagi tujuan pemberian geran komunal (communal titles).

“Kedua-dua kawasan ini didapati tidak lagi sesuai dikekalkan sebagai hutan simpan bagi tujuan-tujuan perhutanan kerana telah terjejas teruk,” katanya.

Radin berkata, kawasan seluas 590 hektar di Kudat iaitu Hutan Simpan Gumantong-Guluang-Gesusu Kelas I (Perlindungan) seluas 1,239 hektar di Beaufort iaitu Hutan Simpan Bukau Api-Api Kelas I(Perlindungan) dan seluas 512.20 hektar iaitu Hutan Simpan Dalit Kelas I (Perlindungan) Keningau, tidak lagi sesuai untuk dikekalkan sebagai hutan simpan memandangkan ia telah terjejas teruk akibat aktiviti pertanian, mempunyai tanah bermilik dan telah diduduki oleh komuniti.

Katanya, kawasan lain yang akan dibubarkan ialah kawasan seluas 102 hektar daripada Hutan Simpan Kuala Bonggaya dan Kuala Labuk Kelas V (Bakau) dan kawasan seluas 21 hektar daripada kawasan Hutan Simpan Lahad Datu Kelas V (Bakau).

“Kawasan-kawasan itu tidak lagi sesuai untuk dikekalkan sebagai hutan simpan memandangkan ia telah terjejas teruk dan diperlukan untuk tujuan penempatan komuniti, pembangunan dan pembinaan loji kumbahan daerah Lahad Datu,” katanya.

Radin berkata, selaras dengan kaedah landswap bagi menggantikan kawasan-kawasan Hutan Simpan Kelas I (Perlindungan) yang telah dibubarkan itu empat kawasan tanah kerajaan telah dikenalpasti untuk ditubuhkan sebagai Hutan Simpan.

“Kawasan gantian tersebut adalah kawasan seluas 1,902 hektar dalam kawasan Hutan Silimpopon dan seluas 740 hektar kawasan Hutan Dalit yang akan diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas I (Perlindungan) yang masing-masing akan dinamakan Hutan Simpan Silimpopon Kelas I (Perlindungan) dan Hutan Simpan Dalit Kelas I (Perlindungan) (Tambahan). Kedua-dua kawasan ini bukan sahaja sesuai untuk tujuan perhutanan tetapi juga sebagai kawasan tadahan air.

“Kawasan seluas 2,000 hektar dalam kawasan hutan Menumbok akan diwartakan sebagai Hutan Simpan Bakau Kelas V (Bakau), ia akan dinamakan Hutan Simpan Menumbok Kelas V (Bakau) (Tambahan). Kawasan ini sangat sesuai untuk dijadikan sebagai kawasan hutan simpan kerana mempunyai nilai konservasi dan kepelbagaian hayat yang sangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata, selain tanah kerajaan sebagai ganti hutan simpan yang telah dibubarkan tersebut, Jabatan Perhutanan Sabah juga telah membeli satu bidang tanah yang telah diberimilik di daerah Kuala Penyu berkeluasan 0.678 hektar melalui proses pengambilan semula tanah .

“Kawasan ini akan diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas IV (Ameniti) dan dinamakan Hutan Simpan Rumbia Kelas IV (Ameniti) (Tambahan),” katanya.

Katanya lagi, kerajaan akan mengkelaskan semula tiga kawasan Hutan Simpan Kelas II (Komersial) kepada Hutan Simpan Kelas I (Perlindungan).

“Hutan simpan-hutan simpan yang terlibat ialah seluas 48,890 hektar Hutan Simpan Gunung Rara Kelas II (Komersial) yang akan dikelaskan semula kepada Hutan Simpan Kelas I (Perlindungan) dan dinamakan Hutan Simpan Mount Magdalena Kelas I (Perlindungan). Kawasan ini sangat penting untuk tujuan perhutanan dan akan berfungsi sebagai koridor hidupan liar dan zon penampan kepada Lembangan Maliau,” katanya.

Radin berkata, kawasan seluas 127,798 hektar di Hutan Simpan Ulu Segama Kelas II (Komersial) dan seluas 92 hektar kawasan Hutan Simpan Ulu Segama Kelas II (Komersial) akan dikelaskan semula kepada Hutan Simpan Ulu Segama Kelas I(Perlindungan) dan Hutan Simpan Lembah Danum Kelas I (Perlindungan) (Tambahan).

Kawasan-kawasan tersebut sangat penting untuk tujuan perhutanan kerana mempunyai nilai konservasi yang tinggi.

No comments:

Post a Comment