Saturday 20 October 2012

PR TIDAK HARGAI PERJANJIAN MILF-FILIPINA






Oleh : MD IZWAN

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Razak mendakwa Pakatan Rakyat (PR) tidak menghargai usaha yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia dalam menjayakan perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sejak 2001 itu.

Perdana menteri (PM) juga berkata perjanjian itu besar maknanya bagi kedua-dua belah pihak dan menegaskan tanpa usaha kerajaan Malaysia perjanjian tersebut tidak akan menjadi kenyataan.

“Pembangkang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, mungkin kerana mereka tidak mahu memberikan kredit kepada usaha kerajaan Malaysia.

“Tapi perjanjian ini adalah sumbangan Malaysia yang telah dilakukan secara konsisten sejak 2004 lagi, malah ia telah bermula pada 2001. Banyak telah kita lakukan untuk jayakan perjanjian damai ini termasuklah melantik fasilitator kita sendiri disana,” kata Najib selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang kelmarin.

Isnin lalu, kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) telah menandatangani Kerangka Perjanjian Damai secara rasmi di Istana Malacanang bagi mengakhiri konflik lebih 40 tahun di Wilayah Selatan Filipina.

Detik bersejarah bagi memulakan proses penubuhan wilayah autonomi Bangsamoro itu turut disaksikan oleh Najib dan Presiden Filipina, Benigno Aquino III.

Majlis yang turut disaksikan oleh Ketua MILF, Murad Ebrahim itu ditandatangani oleh wakil kerajaan Filipina, Marvic Leonen dan Ketua Perundingan Damai MILF, Mohagher Iqbal.

Malaysia menjadi pengantara perundingan damai antara kedua-dua pihak itu sejak 2001 sehingga perjanjian awal untuk perdamaian dicapai di Kuala Lumpur dalam rundingan dari 2 hingga 7 Oktober lepas.

Kedua-dua ketua kerajaan itu memuji perjanjian damai itu dengan Aquino menyifatkan ia sebagai membuka lembaran baru dalam sejarah negara itu manakala Najib berkata penduduk Bangsamoro memang berhak merasai keamanan.

PM berkata perjanjian itu merupakan peluang bagi memastikan penduduk Bangsamoro dapat menikmati manfaat daripada hasil perdamaian.

Bercakap pada majlis itu di Dewan Rizal, istana itu, Najib berkata perjanjian tersebut merupakan peluang bagi mengembalikan semula martabat penduduk wilayah selatan Filipina ekoran pegolakan selama empat dekad.

“Perjanjian yang kita saksikan hari ini menandakan permulaan era baru di selatan Filipina. Saya mengucapkan tahniah kepada mereka yang menjayakan usaha ini dan saya tidak sabar-sabar menanti perjanjian muktamad nanti,” kata Najib.

No comments:

Post a Comment