Saturday 27 October 2012

RAFIZI AKAN KE HONG KONG BERTEMU ICAC





Oleh : MD IZWAN

KUALA LUMPUR  : Sekiranya masih gagal mendapatkan penjelasan daripada Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) mengenai status kes berhubung sumbangan dana RM40 juta kepada Umno Sabah, Rafizi Ramli berkata beliau sendiri akan Hong Kong bagi mengemukakan bukti baru terhadap kes tersebut kepada badan berkenaan.

Menurut Rafizi yang sudah menghubungi ICAC, sehingga kini badan tersebut masih gagal memberikan penjelasan sama ada kes tersebut telah ditutup atau masih berjalan.

“Jika masih gagal mendapatkan sebarang jawapan dan penjelasan daripada ICAC mungkin saya sendiri terpaksa pergi ke Hong Kong.

“Berdasarkan kenyataan dan bukti baru yang diperoleh menerusi kenyataan pemimpin Umno dan di Parlimen, saya berpendapat terdapat asas untuk ICAC menyiasat terutamanya di bawah Seksyen 16 (3), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 memandangkan terdapat keraguan ke atas sumber wang tersebut,” kata Rafizi semasa ditemui di Bank Negara Malaysia (BNM) pagi kelmarin.

Namun, Rafizi berkata terdapat statut dalam ICAC yang menjelaskan bahawa sekiranya siasatan kes tersebut sudah melebihi tempoh tiga tahun maka ia tidak akan diteruskan.

“Kami sudah menghubungi ICAC dan tidak terdapat satu pengesahan pun daripada mereka yang mengatakan kes tersebut telah ditutup atas alasan tiada elemen rasuah telah dikenalpasti.

“Bagaimanapun seperti yang dilaporkan oleh Sarawak Report menyatakan terdapat statut dalam ICAC yang menghadkan tempoh siasatan hingga tiga tahun. Jika tiada maklum balas daripada negara yang disiasat terbabit, maka kes tersebut tidak akan disiasat lagi,” kata Rafizi.

Rafizi menerangkan dia juga akan cuba mendapatkan jawapan daripada ICAC untuk mengesahkan sama ada kes tersebut telah ditutup kerana pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enggan memberikan kerjasama dalam siasatan kes tersebut.

Sebelum itu, Rafizi pagi tadi telah menyerahkan kertas laporan kepada BNM bagi menggesa badan pusat terbabit untuk menyiasat sumbangan dana RM40 juta kepada Umno Sabah di bawah peruntukkan Akta Kawalan Tukaran Wang 1953 dan Notis Kawalan Tukaran Wang, ECM 4 dan Seksyen 16 (3), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Dalam sidang Parlimen lalu, Putrajaya telah mengesahkan bahawa Datuk Musa Aman hanya dibersihkan daripada rasuah selepas SPRM memberitahu pihak berkuasa Hong Kong bahawa sumbangan tunai RM40 juta yang didakwa untuk Ketua Menteri Sabah adalah 'derma politik' kepada Umno.

Putrajaya mengesahkan bahawa Musa hanya dibersihkan daripada rasuah selepas SPRM memberitahu pihak berkuasa Hong Kong bahawa sumbangan tunai RM40 juta yang didakwa untuk Ketua Menteri Sabah adalah 'derma politik' kepada Umno.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberitahu The Malaysian Insider bahawa SPRM mula menyiasat Musa selepas ICAC ingin mendapatkan maklumat mengenai isu itu.

Beliau berkata ICAC telah meminta kerjasama SPRM selepas peniaga kayu Sabah, Michael Chia telah ditahan dan didakwa dengan pengubahan wang haram pada tahun 2008 kerana cuba menyeludup S$16 juta (RM40 juta) daripada Hong Kong.

Menurut laporan media, Chia pada masa itu memberitahu pihak berkuasa Hong Kong bahawa wang yang beliau bawa adalah milik Musa.

No comments:

Post a Comment