Friday 12 October 2012

ROGOL: EMPAT LELAKI DITANGKAP





KENINGAU: Polis menangkap empat lelaki tempatan termasuk seorang warga tua dalam dua kes rogol yang berlaku di dua tempat yang berasingan pada bulan ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Robert Salisip @ David memberitahu pada sidang media di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah di sini kelmarin, keempat-empat lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, pada kejadian pertama, pengadu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun telah membuat laporan polis di ibu pejabat daerah pada 9 Oktober jam 4.24 petang menyatakan bahawa teman lelaki mangsa berusia 21 tahun dan dua rakannya berusia 17 dan 25 tahun telah membawa mangsa ke sebuah rumah di sebuah taman di sini dengan menaiki kereta Perodua Kancil.

“Setibanya di rumah itu, teman lelaki mangsa telah memaksa mangsa minum minuman keras jenis Golden dan pada hari sama jam 6.25 petang, mangsa telah dirogol oleh teman lelakinya sebanyak tiga kali.

“Selepas dirogol, mangsa dipaksa minum lagi sehingga mabuk dan tidak sedar diri. Pada jam 11.30 malam, apabila mangsa sedar, mangsa dapati telah dikunci di dalam rumah itu,” katanya.

Robert berkata, mangsa bernasib baik kerana membawa telefon bimbitnya dan lantas menghubungi dan memaklumkan ibunya yang dia telah dikurung di dalam sebuah rumah di taman itu.

Bertindak atas maklumat itu, bertempat di hadapan sebuah pusat hiburan di sini, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Keningau telah berjaya menangkap ke tiga-tiga suspek yang terlibat dalam kes itu kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Katanya, suspek kemudian membawa polis ke rumah di mana mangsa telah dikurung dan siasatan polis mendapati rumah itu adalah milik salah seorang suspek.

“Ketiga-tiga suspek telah mengurung mangsa sebelum pergi ke pusat hiburan dan mangsa telah dibawa ke Hospital Keningau untuk pemeriksaan awal,” katanya.

Sementara itu dalam satu lagi kes, seorang lelaki tempatan berusia 67 tahun dari sebuah kampung di kawasan Sook di sini telah ditangkap polis kerana disyaki merogol seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) berusia 21 tahun di tepi Sungai Sook.

Robert berkata, pada kejadian 2 Oktober jam 6 petang semasa pengadu (ibu mangsa) berada di rumah kediaman mereka, mangsa telah balik ke rumah lalu memberitahu ibunya seorang lelaki tua telah merogol mangsa.

“Selepas pengadu diberitahu oleh anaknya (mangsa), pada keesokan harinya mereka telah berjumpa dengan ketua kampung dan membawanya ke tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, pengadu kemudian membuat laporan polis di IPD Keningau pada 5 Oktober jam 11 pagi.

Robert memberitahu hasil siasatan awal polis, mangsa telah dirogol pada 2 Oktober waktu siang hari di mana mangsa dibawa oleh suspek ke tepi Sungai Sook.

Katanya, semasa kejadian, ibubapa mangsa keluar bekerja dan mangsa telah keluar rumah untuk mengambil buah-buahan di seberang sungai seorang diri, di mana suspek telah memanggil mangsa dan membawanya ke tepi sungai lalu merogolnya.

“Lelaki warga tua yang mempunyai isteri yang sedang sakit itu telah ditahan polis untuk siasatan lanjut,” katanya. (UB)

No comments:

Post a Comment