Sunday 21 October 2012

SAFA PERLU LAKUKAN TRANSFORMASI





Oleh : MOHD HISYAMMIEDDY BIN ESA

MENYAKSIKAN kejayaan Kelantan memenangi tiga kejuaraan tahun ini membuatkan peminat bola sepak di Sabah kagum khususnya melihat aksi bertenaga Mafry Balang, bekas pemain Sabah yang ditamatkan kontrak pada tahun ini.

Gol kemenangan Kelantan yang disumbang Inderaputera Mahayudin dalam perlawanan akhir Piala Malaysia malam tadi bertitik tolak peranan Mafry menghantar bola ke tengah kepada Badri Radzi  @ Piya (Kapten Kelantan) dan seterusnya memberikan kepada Inderaputera untuk mencipta sejarah tersendiri  kegemilangan bola sepak Kelantan yang suatu ketika dahulu pernah melalui zaman kegelapan bermain di liga bawahan FAM.

Kekebalan pertahanan yang dikawal Mafry juga menggagalkan penyerang prolifik ATM iaitu Marlon Alex James dan Hairuddin Omar menembusi gawang Khairul Fahmi Che Mat.

Pasukan Sabah yang tidak pernah mendakap Piala Malaysia mungkin boleh tersenyum melihat raut ceria anak Sabah mendakap piala keagungan bola sepak Negara itu. Ironinya, pasukan Sabah akan diturunkan ke Liga Perdana setelah gagal memberi saingan dalam liga elit Malaysia tahun ini iaitu Liga Super.

Majoriti penyokong bolasepak Sabah tidak berpuas hati dengan pengurusan pasukan Sabah yang tidak berkualiti dan tidak bersungguh-sungguh memajukan bola sepak negeri. Tambah memalukan kekalahan pasukan Sabah kepada pasukan berstatus daerah iaitu Tawau dengan jaringan 0-2 (memihak Tawau) dalam perlawanan persahabatan  yang berlangsung pada 19 Oktober 2012.

Pengurusan Sabah semakin kesuntukan masa menyediakan pasukan yang terbaik menjelang saingan Liga Perdana musim depan yang dijangka paling sengit dalam sejarahnya di mana pasukan Johor dijangka akan berbelanja besar jutaan ringgit membeli pemain berkualiti dalam dan luar Negara.

Saingan pasukan negeri seperti Kedah dan Sarawak juga tidak boleh diketepikan. Dengan ini, saya mencadangkan kepada Presiden SAFA (Datuk Musa Hj Aman) dapat memperuntukan jutaan ringgit untuk saingan musim depan.

Perkara yang paling ditunggu-tunggu oleh puluhan ribu peminat tegar bola sepak Sabah melalui komen peminat di media social facebook seperti Sabahawksdiehard dan North Borneo Ultras  ialah pembubaran pengurusan SAFA bermula dari jawatan bawahan hingga Pengurus Pasukan.

Sudah tiba masanya, hanya mereka yang cintakan bola sepak, bersih dari sikap pilih kasih atau rasuah dan bersikap professional sahaja yang dilantik memimpin pembangunan bola sepak negeri Sabah.

No comments:

Post a Comment