Friday 12 October 2012

SAMUR, PROJEK MENYUSUKAN KERA DI RIMBA?





Saudara Pengarang,

BANYAK syarikat tempatan mengeluh kerana gagal mendapatkan peluang di projek SAMUR yang diwar-warkan sebagai projek mega BN namun hakikatnya dianugerahkan kepada kontraktor dari luar Sabah; bak kata pepatah seperti menyusukan kera di rimba, anak di pangkuan mati kehausan.

Rata-ratanya mengeluh kerana semuanya ditentukan oleh pejabat Kontraktor Utama iaitu Apex-MHI-Rekayasa dan Petronas di Kuala Lumpur. Sumber dalaman mengatakan bahawa semuanya perlu menggunakan peranan 'Orang Dalam' Jawatankuasa Tender yang diketuai oleh Petronas dan Apex.

Keadaan sebegini telah menyebabkan projek SAMUR ini mengundang masalah dalaman seperti projek tergendala disebabkan oleh penutupan selama empat bulan oleh pihak berkuasa selain Juruperunding yang dilantik oleh Petronas-Apex tidak berkebolehan untuk mendapatkan keluluesan daripada pihak berkuasa tempatan setelah dikurniakan kerja (Letter of Award).

Keadaan sebegini nampaknya akan terus berulang. Muhibbah Engineering, syarikat yang berpangkalan di Semenanjung telah disebut-sebut akan dikurniakan kerja-kerja membina Jetty.

Sekiranya ini berlaku, maka isu yang sama akan berulang. Ini kerana Muhibbah Engineering mempunyai trek rekod yang buruk. Ini terbukti dengan projek Petronas yang mereka kendalikan sekarang iaitu di Melaka.

Akibatnya, projek Petronas di Melaka ini iaitu (Petronas Regas Plant Melaka yang juga mempunyai jetty) telah tergendala selama 15 bulan dan mengakibatkan Petronas menanggung kos luar jangka sehingga lebih RM100 juta.

Disebabkan permasalahan ini, sumber dalaman mengatakan bahawa Pengarah Urusan /CEO kepada Petronas Gas Berhad telah berhasrat untuk mengundurkan diri (resign) daripada kedudukannya.

Kami meminta agar keadaan ini dapat diperbetulkan segera agar ketidak cekapan kontraktor dibendung supaya bukan sahaja projek tidak dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan, tetapi juga tidak melebihi kos yang telahpun dibajetkan.

Salam Hormat,

MOAIK SALIHIN

No comments:

Post a Comment