Tuesday 30 October 2012

SAYANG SEMUANYA SUDAH TERLAMBAT....





Oleh : JUSTIN INGIN         

SAYANG semuanya sudah terlambat. Kenapa baru sekarang pemimpin-pemimpin BN Sabah (UMNO, PBS, UPKO, PBRS) bercakap tentang NCR? Kenapa bukan dari 16 September 1963 lagi? Kenapa undang-undang tanah NCR tidak dikuatkuasa selama itu? Kenapa lebih 49 tahun undang-undang tanah tidak dikemaskini?

Kenapa sudah lebih 80% kawasan tanah pertanian yang sesuai dan mencakupi kawasan perkampungan dan tanah-tanah NCR penduduk asal Sabah dirampas oleh Syarikat-syarikat Kapitalis Malaya, baru Ketua Menteri Sabah bercakap tentang NCR?

Penduduk asal Sabah jangan tertipu dan termakan tipu helah dan muslihat politik sabun BN (UMNO) ini! Cukuplah 49 tahun penduduk asasl Sabah ditipu, diperalat, dieksploitasi dan dijajah oleh pemimpin-pemimpin dan Kapitalis Malaya ini.

Ingatlah!, dengan memperkudakan pemimpin-pemimpin boneka BN Sabah ini, maka mereka telah berjaya mengeksploitasi sumber kekayaan Sabah, merampas hak dan kepentingan penduduk asal, dan menjadikan penduduk asal sebagai pelarian dan pengemis di bumi sendiri!

Disebabkan kerakusan dan ketamakan untuk terus berkuasa, mereka akan terus menipu dan mengaburi mata dan kefahaman penduduk asal dengan janji-janji dan bantuan-bantuan kilat, macam mee segera. Lepas makan, kehidupan penduduk asal tidak berubah dan kekal sebagai rakyat miskin tegar!

Hal ini berlaku kerana hak-hak dan kepentingan, maruah, jati diri dan nasionalisme mereka telah tergadai disebabkan permainan pemimpin-pemimpin zaman siber ini. Kenapa hanya selepas United Borneo Front (UBF) membuat kajian dan State Reform party (STAR) Sabah menggubal Pelan Induk Pengurusan Tanah NCR , baru pemimpin-pemimpin BN Sabah ini sibuk-sibuk bercakap pasal tanah NCR?

Bukankah selama ini mereka buta, pekak dan bisu tentang NCR? Bukankah selama ini mereka membiarkan tanah-tanah perkampungan dan tanah NCR penduduk asal dirampas Syarikat Kapitalis Malaya?

Telah sekian lama mereka bersubahat rakus dengan kapitalis-kapitalis Malaya meneroka habis beribu-ribu hektar kawasan tanah pertanian yang sesuai di Sabah, yang sepatutnya dihakmilikkan kepada penduduk asal Sabah, bukannya kapitalis asing!

Dalam kebanyakan kes masalah tanah, penduduk asal Sabah yang kebanyakannya golongan yang kurang bernasib baik, bersendirian berjuang mati-matian mempertahankan hak milik mereka ke atas kawasan tanah perkampungan dan tanah-tanah NCR.

Tetapi setiap kali ada kes, tidak ada seorangpun pemimpin BN Sabah (UMNO, PBS, UPKO, PBRS) yang tampil membantu mempertahankan hak milik tanah mereka, dan membantu memberi sokongan hitam putih atau khidmat guaman.

Apa yang berlaku, penduduk asal dengan segala kekurangan kewangan dan pengetahuan undang-undang tentang tanah, terpaksa meminta khidmat guaman daripada peguam-peguam bebas dan NGO.

Ternyata isu-isu tempatan dan nasional seperti Dasar Kabotaj, RCI, NCR, Projek IC, Pengundi Hantu, Kewarganegaraan Songsang, Borneonisasi, 20 Perkara (Sabah), 18 Perkara (Sarawak), Perjanjian Malaysia 1963, dan 7 Agenda Borneo tidak terfikir oleh mereka.

Mungkin mereka sudah cukup selesa dan mahu menjaga periuk nasi, sudah mabuk kuasa. Kebanyakan isu besar yang sedang diperdebatkan sekarang, mereka hanya menumpang idea Presiden UBF, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan.

Mereka hanya mampu menciplak, meniru atau memplagiat idea dan pemikiran orang lain, dan tidak mampu menjana pemikiran untuk mencetus idea perubahan, inovasi baru, atau mencari pembolehubah baru bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

Apa yang berlaku sekarang kadar inflasi, kadar kemiskinan, harga barangan keperluan harian, harga bahan api, kos pengangkutan, kos sara hidup rakyat dan hutang negara terus meningkat! Pemikiran, perancangan, pengurusan, pelaksanaan dan tindakan pemimpin-pemimpin lama ini nampaknya sudah uzur, obsolete, dan jumud bersama sistem feudalisme dan amalan politik monarki lama yang lapuk dan haprak.

Untuk menghadapi perubahan dunia globalisasi, Sabah memerlukan sistem baru, pemimpin-pemimpin generasi baru yang berilmu pengetahuan tahap tinggi, berketrampilan, berwawasan, berinovasi, berintegriti, amanah, bertanggungjawab dan bersifat 'marketable' bagi memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat.

No comments:

Post a Comment