Monday 15 October 2012

SDC PETANDA MASA DEPAN BAHARU SABAH





KUDAT: Projek berasaskan pertanian yang paling ditunggu-tunggu yang kini sedang dilaksanakan di bahagian sebelah utara Sabah oleh kerajaan negeri di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) merupakan petanda yang baharu dan cerah bagi ribuan rakyat di kawasan itu.

Statistik menunjukkan bahawa sehingga ini bahagian sebelah utara Sabah, yang meliputi Daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas, masih mempunyai jumlah penduduk miskin tegar atau insiden kemiskinan yang tinggi.

Semuanya kini berubah berikutan inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di mana wilayah itu kini menikmati pertumbuhan dan pembangunan yang pesat, khususnya di dalam sektor pertanian.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan pelaburan Sabah (Sedia) Datuk Dr Mohd Yaakub Johari berkata kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Ketua menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang juga Pengerusi Sedia, telah mewujudkan satu strategi khas menangani kemiskinan di bawasan itu.

Sedia adalah satu pihak berkuasa sehenti SDC.

Salah satu projek utama bagi mencapai matlamat itu ialah projek agropolitan di Pitas, katanya kepada Bernama di sini.

Sambil menyifatkan dasar sektor pertanian Sabah sebagai antara yang terbaik di negara ini, Mohd Yaakub berkata: “Projek ini bakal merubah lanskap pembangunan di kawasan pantai utara Sabah terutama dalam meningkatkan pendapatan penduduk di situ, sekali gus membantu mengurangkan kadar kemiskinan.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-sembilan (RMK9), kita telah membina empat jalan di empat kampung yang keseluruhannya sejauh 53.1 km bagi menjayakan projek berkenaan.

“Tiga daripada jalan itu sudah disiapkan manakala satu lagi dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata projek jalan yang sudah siap itu ialah jalan yang menghubungkan Sosop dan Mandamai Bai (Pitas) sejauh 8.0 km yang menelan belanja sekitar RM15 juta, jalan Kampung Kiandut-Torungguh (RM11.6 juta) sejauh 7.6 km, jalan Jambu-Liu-Malu- bang sejauh 29.2 km dengan kos RM26 juta.

Satu lagi projek jalan iaitu menaik taraf 8.3 km jalan Pantai-Delima dengan kos sekitar RM9.3 juta dijangka siap pada penghujung tahun ini, katanya.

Mohd Yaakub berkata, selain projek jalan raya, kemudahan perumahan turut disediakan khusus untuk peserta projek agroplitan Pitas, dan setakat ini sebanyak 260 rumah sudah disiapkan.

“Kita juga menyediakan kemudahan bekalan elektrik ke rumah-rumah tersebut bagi melengkapkan kemudahan asas yang dinikmati dan seterusnya memberikan keselesaan hidup kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, di bawah projek agropolitan Pitas, tumpuan diberikan kepada penanaman getah secara besar-besaran.

Bagi maksud itu, katanya seluas 3,600 hektar dibuka di Bengkoka yang diharap dapat memberi manfaat kepada sekitar 900 orang.

“Sebahagian daripadanya sudah ditanam dengan getah dan sudah pun ditoreh, dan pendapatan minima setiap keluarga ialah sekitar RM3,000. Ini adalah petanda yang baik untuk peserta projek agropolitan Pitas,” katanya.’

Mohd Yaakub berkata pembinaan kemudahan infrastruktur di kawasan itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada rakyat setempat tetapi “memberi isyarat kepada pelabur untuk datang melabur ke kawasan ini.”

“Ini penting kerana kalau pelabur tidak datang maka kerajaan akan terus memikul beban untuk memperuntukkan perbelanjaan pembangunan.”

“Apa sahaja yang kita sediakan sama ada jalan, bekalan elektrik atau air, semua ini diharap dapat meyakinkan usahawan yang mempunyai modal untuk melabur dan bersama-sama dengan masyarakat setempat untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka secara lestari,” katanya.

Mohd Yaakub berkata di bawah RMK10, SDC juga memberi penekanan kepada projek ternakan balat (gamat) di empat kampung di pesisir pantai (yang terpilih) yang membabitkan kawasan seluas 80 hektar dengan penyertaan 50 peserta.

“Jika projek ini berjaya, ia mampu memberi pendapatan sehingga RM1,100 sebulan kepada peserta. Kita juga merancang untuk memajukan ternakan udang bersama-sama usahawan swasta di Telaga membabitkan kawasan sekitar 536 hektar.

“Projek ternakan udang yang melibatkan sekitar 400 peserta ini juga boleh membantu menjana pendapatan mereka sehingga RM1,409 sebulan,” katanya.

Selain projek agropolitian, Mohd Yaakub berkata terdapat projek lain bagi kawasan itu yang direka bentuk untuk menangani isu-isu kemiskinan “yang akan dilaksanakan secara lestari.”

Katanya ini dapat dilaksanakan berikutan penjajaran GTP yang diperkenalkan oleh Najib dan program SDC.

“Yang pertama, kami telah mengenal pasti pemeliharaan burung walet (Burung Layang-Layang). Malah, Kami baharu sahaja menguji sambutan penduduk tempatan di Sabah.

“Beberapa hari lepas, kami menganjurkan satu kursus mengenai pemeliharaan burung walet dan ia mendapat sambutan menggalakkan dan kami perlu menganjurkan dua sesi setiap satu bagi kira-kira 100 peserta.

“Rakyat dari pelbagai latar belakang pendidikan telah mengambil bahagian di dalam seminar ini. Kami percaya pemeliharaan burung walet berpotensi hesar dan akan memberi manfaat kepada rakyat dari sebelah utara seperti Kudat, Kota Marudu dan Pitas,” katanya.

Mohd Yaakub berkata kawasaan berkenaan disasarkan bagi pemeliharaan burung walet dan berharap projek ini akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

“Bagi tujuan ini, kami akan mewujudkan kawasan bagi unit pemprosesan sarang burung itu, satu kawasan kemudahan penetasan, nurseri dan unit pengeluaran makanan..ianya lengkap. Sebab itu kami akan menjemput pelaburan swasta bagi menyertai projek ini,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga cadangan untuk mewujudkan satu Projek Kultur Ikan Marin Bersepadu di Limau-Limauan, Kudat.

Dalam hubungan itu, Mohd Yaakub berkata Perbadanan Pembangunan Nelayan dan Perikanan Sabah (Ko-Nelayan) telah mengenal pasti kira-kira 400 hektar kawasan tanah dan laut yang sesuai bagi penternakan ikan marin dalam sangkar di Kudat.

Projek itu akan terdiri daripada kemudahan penetasan, nhurseri, sangkar ikan dewasa, kilang makanan dan kemudahan pengeluaran ikan hidup, katanya.

Mohd Yaakub berkata kemudahan penetasan itu dijangka mengeluarkan 135 juta benih ikan hibrid dan bergred tinggi bagi dibekalkan kepada pengendali sangkar ikan kultur di Sabah.

Katanya sangkar itu dijangka mengeluarkan 28,000 tan metrik ikan hibrid dan bergred tinggi yang mempunyai harga yang tinggi di pasaran setahun bagi dieksport ke China dan Hong Kong. (NST)

No comments:

Post a Comment