Wednesday 24 October 2012

SEMUA PROJEK SAMUR DIKEBAS 'MALAYA'?





Saudara Pengarang,

HAKIKATNYA dalam mana-mana projek Petronas di Sabah ini semuanya akan ditentukan oleh siapa atau syarikat mana yang mampu memberikan tawaran kewangan yang baik dan malangnya, bukan lagi menjadi rahsia di kalangan peniaga petrokimia di Sabah dan Labuan.

Kami terpanggil untuk memberi pandangan setelah Sabahkini.net menyiarkan artikel bertajuk 'Samur, Projek Menyusukan Kera Di Rimba?' yang menyatakan bahawa syarikat tempatan terus terpinggir dan tidak mempunyai kemampuan untuk membuat kerja-kerja dalam industri minyak dan gas.

Tetapi lihatlah apa yang berlaku di Kimanis untuk projek Terminal Minyak dan Gas Sabah atau singkatannya SOGT? Apa yang berlaku? Rata-rata kontraktor (utama dan subkontraktor) hanya terdiri daripada syarikat yang sudah mempunyai hubungan dalaman yang cukup lama dan sudah kukuh dengan Petronas atau Konsortium Utama.

Akibatnya, rakyat yang tertekan akibat kek ekonomi tidak seimbang dalam SOGT, memberontak dengan membakar diri dan menjadi pembunuh dan terbunuh. Terbaru dari SOGT, seorang pekerja welding keras kaku terbakar hangus kerana menjalankan kerja-kerja welding tanpa sistem keselamatan asas iaitu peralatan elektrik/mesin welding tidak disambungkan kepada wayar tanah/earting.

Bagaimana kemalangan ini boleh terjadi jika SOGT mengamalkan Sistem Keselamatan Pekerjaan yang paling ketat?

Jika Pegawai Kanan Petronas duduk di kedai kopi sekitar Pekan Kimanis, rata-rata masyarakat Kimanis akan memberikan gambaran kurang senang dengan apa yang digembar-gemburkan oleh pemimpin-pemimpin atasan.

Akikatnya, pelan pembangunan yang dibawa oleh Petronas hanya memberi keuntungan kepada peniaga-peniaga luar yang rakus tanpa memberi perhitungan untuk bekerja sama dengan penduduk tempatan.

Contoh yang paling jelas, seorang penduduk tempatan diberikan peluang membekal makanan bungkus kepada pekerja di dalam SOGT pada harga Sub RM9.00 untuk 3 ke 5 kali makan sehari sedangkan orang luar yang mendapat terus daripada pihak Konsortium utama atau Sub-Contraktor daripada Konsortium utama ini mendapat harga dua kali ganda.

Senang-senang mereka mendapat untung atas angin RM9.00 sekepala. Senario Ini benar-benar menghampakan masyarakat tempatan. Namun persoalannya, di manakah peranan Petronas dan pemimpin-pemimpin politik dalam menghubungkan rakyat tempatan dengan peluang-peluang sekecil ini pun?

Begitu juga keadaannya di Sipitang iaitu Konsortium utama iaitu Apex-MHI-Rekind tidak ikhlas membantu kerana terus memonopoli apa-apa sahaja kerja dari dalam kawasan sehingga ke luar kawasan.

Sedangkan kerja-kerja membekal minyak diesel untuk kenderaan yang bekerja di kawasan tapak pun mereka sapu habis. Kenapa sudah tidak ada syarikat tempatan yang berlesen dan mampu untuk diberikan peluang?

Begitu juga halnya dengan Temporary Facility, kerana kontraktor yang diberikan kerja ialah anak syarikat Apex sendir iaitu TATA Group. Semua org tahu tapi adakah mereka peduli nasib syarikat tempatan yang mengalami krisis 'Janji Tidak Ditepati'.

Lebih memalukan, Apex melantik MOG sebagai Juruperunding mereka yang dikatakan sambil menyelam, minum air setelah MOG mambuat pakatan untuk menjalankan kerja-kerja sivil membuat Jambatan dan kerja tanah di tapak projek yang dikurniakan oleh Apex.

Jangan menunding jari jika benar kerana sudah pastinya perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Jika mahu menjadi Juruperunding, jadilah Juruperunding yang profesional dan bukannya mengambil kesempatan. Berilah peluang kepada syarikat tempatan kerana Apex tidak langsung memberi makna jika semua kerja disonglap oleh Juruperunding yang berpangkalan di Malaya.

Bukankah tidak bermaruah jika orang Malaya ini buka pejabat di Kota Kinabalu semta-mata untuk mengaburi mata pemimpin dan rakyat Sabah kerana mengimport pegawai dan pekerja dari Malaya; tanpa ada usaha untuk memberikan peluang kepada rakyat dan kontraktor tempatan.

Bagaikan Anaconda, semua projek mereka telan sehingga rakyat Sabah hanya menjadi pemerhati pembangunan dan mangsa perlalunan projek di hadapan mata yang telanjang.
Mari kita renung dan fikir-fikirkan sebelum PRU-13 supaya pisang tidak berbuah dua kali, khasnya di SAMUR, Sipitang.

Salam Hormat,

AWANG AMIT

No comments:

Post a Comment