Thursday 25 October 2012

SENJATAPI UNTUK AH LONG?





Oleh : JAYANTHI GEETHA SUKUMARAN

KEGIATAN Ah Long di Sabah semakin menjadi-jadi kerana mereka mempunyai 'Taiko' yang berpangkat besar di Bukit Aman; kini semakin bertambah garang apabila 'Tailo' mereka, Ho Wai Kong, berjaya mendapat lesen membekal dan menjual senjatapi di Sabah dengan kerjasama dan suaka Adun Sekong, Datuk Samsudin Yahya.

Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Citra Masadi, ketika menghubungi Sabahkini.net mendedahkan bahawa Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mungkin terlepas pandang bahawa Ho Wai Kong dan Teo Kok Kee serta Boniventure Chen adalah Ah Long paling berpengaruh di Sabah sejak sekian lama kerana mempunyai rangkaian dengan pegawai kanan polis di Bukit Aman.

"Kita akan dedahkan secara berperingkat-peringkat, tetapi demi keselamatan Sabah dan keamanan sejagat, kita gesa Pesuruhjaya Polis Sabah, Ketua Menteri Sabah, Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri Malaysia agar menarik balik lesen Solid Arms Centre Sdn.Bhd sebelum terlambat," ujar Citra.

Menurut Citra, premis Solid Arms di Unit No. 122, Blok N, Alam Mesra Plaza Permai, Kota Kinabalu juga dikhuatiri diperolehi secara tidak sah setelah Ah Long bertindak merampas secara paksa premis berkenaan kerana peminjam gagal membayar hutang.

"Jika belum bersenjata mereka sudah bertindak ganas dan mengupah samseng untuk mendapatkan premis berkenaan; apa lagi kini mereka menjadi penjual, pengedar dan pembeli senjata api?" kata Citra yang kesal kerana tapisan keselamatan amat longgar, apatah lagi sebelum ini Samsudin pernah memiliki syarikat membekalkan senjata api yang kemudiannya dibatalkan.

Tegas Citra, hasil semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), beliau mendapati bahawa Solid Arms Centre Sdn Bhd dimiliki oleh Samsudin Yahya (550208-12-5619) yang memegang 60,000 saham; Ho Wai Kong (610623-71-5319) memiliki 5,000 saham; Boniventure Chen (630922-12-5413) memegang 30,000 saham dan Teo Kok Kee (711228-01-5219) bersama 5,000 saham.

"Kesemua mereka juga adalah Lembaga Pengarah Solid Arms Centre Sdn Bhd (883883-V) yang didaftarkan pada 16 Oktober 2011 sebagai syarikat yang membeli dan menjual segala jenis senjata api, peniagaan am dan prospek pelaburan," kata Citra yang menunjukkan PDRM seolah-olah 'tidak bersalah' atau 'langsung tidak tahu menahu' kegiatan tiga makhluk perosak yang menjalankan kegiatan Ah Long di Sabah.




Tegas Citra, adik Ho Wai Kong iaitu 'Pau Chai' telah mempunyai rangkaian kegiatan haram iaitu menyeludup minyak diesel bersubsidi di Jeti Ko-Nelayan Tawau; manakala Samsudin ialah Pengerusi Ko-Nelayan yang baru disambung kontraknya 30 Julai lalu sehingga 2014.

"Pau Chai telah memperkenalkan Ho kepada Samsuddin dan akhirnya mereka menubuhkan Solid Arms Centre Sdn Bhd untuk memberi nilai tambah kepada kegiatan Ah Long dan penyeludupan minyak diesel bersubsidi," kata Citra.

Tegas Citra lagi, Ho terkenal sebagai 'Lau Chen' atau 'Penipu' di kalangan peniaga di Sabah dan menjalankan kegiatan peminjaman wang secara haram melalui pelbagai syarikat yang kebanyakannya dijalankan oleh Teo. Manakala Boniventure menyertai rangkaian mereka sebagai 'Batman' dan sanggup melakukan apa sahaja dengan bayaran yang setimpal.

Sehubungan itu, Citra menggesa agar Kerajaan Malaysia membekukan sementara lesen Solid Arms Centre Sdn Bhd bagi membolehkan siasatan rapi dijalankan kerana masyarakat bimbang dengan perkembangan terbaru ini boleh mengancam keselamatan mereka jika semua Ah Long mendapat senjatapi; dengan alasan sebagai menjaga keselamatan diri peniaga, sedangkan mereka adalah 'Ah Long'.




"Lagipun Ho, Teo dan Boniventure boleh akses terhadap senjatapi kerana mereka adalah Pengarah Solid Arms Centre Sdn Bhd," ujar Citra yang berpendapat senario seperti ini tidak wajar berlaku di Sabah ketika jenayah penculikan, penyeludupan dan keganasan semakin meningkat.

Tambah Citra lagi, beliau bimbang kerana Ho dan Teo 'diselamatkan' oleh 'Tangan Ghaib Bukit Aman' ketika operasi besar-besaran terhadap Ah Long di Sabah setelah anak salah seorang pegawai kanan polis dibunuh dalam kebakaran terancang.

No comments:

Post a Comment