KUNDASANG : Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak bimbang dengan kawasan Parlimen
Ranau pada pilihan raya umum akan datang kerana beliau yakin sokongan rakyat di
kawasan itu yang tidak berbelah bagi terhadap Barisan Nasional (BN).
"Sejak kami tiba di
sini, saya dapat merasakan kedinginan udara dan saya percaya saya akan tidur
dengan nyenyak malam ini. Bukan sahaja kerana kedinginan udaranya, tetapi
kerana sokongan mantap penduduk di sini," katanya pada Majlis Pemimpin
Bersama Rakyat di Taman Negara Kinabalu di sini Sabtu malam.
Turut hadir ialah isterinya
Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan
Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Najib juga bersetuju dengan
kenyataan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Karanaan dan Paginatan
iaitu Datuk Masidi Manjun dan Datuk Dr Ewon Ebin bahawa masyarakat Ranau yang
majoriti dari kaum Dusun ikhlas menyokong BN.
"Kalau pilihan raya
diadakan esok, BN tetap akan menang kerana sokongan rakyat di sini setinggi
Gunung Kinabalu," katanya.
Beliau menjelaskan
masyarakat di Ranau tidak mudah terpengaruh dengan hasutan dan janji manis
pembangkang.
Terdahulu, Perdana Menteri
menghadiri perjumpaan tertutup dengan pemimpin-pemimpin BN Sabah.
Pada Ahad, beliau akan
melepaskan peserta '26th Mount Kinabalu International Climbathon' di sini pada
pukul 7 pagi sebelum membuat tinjauan mesra di Pekan Kundasang dan akan ke
Kudat sebagai mengakhiri lawatan dua harinya di Sabah. (Bernama)
No comments:
Post a Comment