Friday 12 October 2012

SUSPEK UTAMA KES BUNUH DICEKUP





Shamsudin (kanan) bersama Ang pada sidang media.

Oleh : MOHD NAZIB MACPEE

LAHAD DATU: Polis percaya berjaya menyelesaikan satu kes pembunuhan melibatkan seorang lelaki warga Paskistan dengan tertangkapnya suspek utama yang merupakan seorang lelaki warga asing dalam satu serbuan yang dilancarkan di Ladang Jalan Jeroco, di sini, malam Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supritendan Shamsudin Mat dalam satu sidang media berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota dari bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Lahad Datu yang diketuai oleh Insp Mohd Noor Ariffin telah membuat satu serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di ladang terbabit dan berjaya menahan suspek sekitar jam 9.00 malam.

Suspek yang berumur 35 tahun kemudiannya telah dibawa ke balai dan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Dalam kejadian yang berlaku di Kg Ubi pada 28 September lalu, suspek dikatakan telah melarikan diri selepas dipercayai melakukan satu kes pembunuhan melibatkan seorang lelaki warga Paskistan yang dikenali sebagai Salih Khan selepas menyerangnya dengan menggunakan senjata tajam.

Mangsa yang mengalami cedera parah dengan keadaan perut terburai dan kesan tetakan di bahagian tengkuk hingga ke dada dipercayai mati serta merta di tempat kejadian sebelum ditemui oleh rakannya sehari kemudian kira-kira jam 11.30 pagi dan bertindak melaporkan perkara itu kepada pihak polis.

“Mencurigai keselamatan mangsa yang tidak pulang ke rumah semalaman, rakannya kemudian bertindak menyusuli mangsa ke Kg Ubi untuk mencarinya di sana selepas dia dimaklumkan oleh mangsa akan pergi ke situ bagi tujuan mengutip hutang sehari sebelum kejadian itu berlaku,” katanya.

Menurut Shamsudin, berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati motif pembunuhan itu berlaku disebabkan rasa cemburu dan kemarahan apabila suspek mendapati bahawa mangsa sering kali datang ke rumah mereka atas urusan jual beli kain dan urusan hutang.

“Suspek juga telah mengesyaki bahawa mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya kemudian telah merancang untuk membunuh mangsa kerana perasaan cemburu dan marah,” katanya sambil menambah, mayat mangsa juga telah diterbangkan balik ke negara asalnya bagi tujuan pengkebumian.

Shamsudin berkata, dengan tertangkapnya suspek itu juga pihaknya percaya telah berjaya menyelesaikan kedua-dua kes bunuh yang berlaku pada 28 September lalu, di mana dalam kes berasingan seorang suspek kes bunuh juga telah berjaya ditangkap dalam kejadian yang berlaku di Kampung Air pada hari yang sama.

Hadir sama di sidang media itu ialah Pegawai Penyiasat kes ASP Ang Seow Aun. (UB)

No comments:

Post a Comment