Friday 19 October 2012

S'WAK RUNDING TERUS KONTRAK RM923 JUTA





Oleh : AIDILA RAZAK        

SATU syarikat milik Setiausaha Kewangan Sarawak Diperbadankan didapati menganugerahkan kontrak berjumlah RM923.03 juta kepada empat firma melalui rundingan terus.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 menyebut, Sarawak Coal Resources Sdn Bhd menganugerahkan kontrak untuk pengeluaran dan penghantaran arang batu di Mukah – yang menempatkan kawasan DUN Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Kontrak berkenaan dianugerahkan tanpa perakuan daripada Setiausaha kewangan negeri, yang ditetapkan untuk kontrak bernilai lebih RM500,000.

Sebanyak 10 kontrak, masing-masing berjumlah antara RM4.42 juta dan RM262 juta dianugerahkan kepada Hock Peng Realty Sdn Bhd, Piritemp Sdn Bhd, Alam Suria Equity Sdn Bhd dan Verde Mount Corporation Sdn Bhd.

Kontrak bernilai paling besar, RM822.4 juta dianugerahkan kepada Hock Peng Realty.

Bagaimanapun, Sarawak Coal Resources dalam maklumannya kepada ketua audit berkata ia 'tidak mengetahui' wujudnya pekeliling yang menetapkan sedemikian dan akan mematuhinya pada masa depan.

Audit itu juga mendapati Hock Peng Realty dan Alam Suria tidak mematuhi kontrak dan laporan kesan alam sekitar.

Hock Peng Realty sepatutnya menimbus semula tapak lombong berkenaan selepas operasi perlombongan berakhir pada 2011, namun laporan itu mendapati lombong Ulu Bedengan itu kini menjadi satu tasik yang besar.

Syarikat Alam Suria Equity pula didapati menimbus semula tapak lombong Ulu Sikat, namun kawasan itu tidak dibaikpulih seperti ditetapkan dalam kontrak.









No comments:

Post a Comment