Tuesday 23 October 2012

TANAH ADAT, PRIORITI UTAMA KERAJAAN SABAH



 


KOTA KINABALU : Kerajaan negeri serius menguruskan hak pemilikan Tanah Hak Adat Negeri (NCR) sebagai prioriti bagi memelihara kepentingan orang asal Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

"Saya secara peribadi akan memastikan prinsip ini, iaitu menjaga, memelihara dan melindungi kepentingan hak-hak orang asal, akan sentiasa didahulukan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Nilwan Kabang (Umno-Kunak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Isnin.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata jumlah keseluruhan keluasan tanah kerajaan yang diperuntuk kepada anak negeri Sabah melalui lima kaedah sama ada dalam bentuk hakmilik tanah Native Title (NT), ekuiti dan pewartaan adalah seluas 890,626.47 hektar atau 45 peratus daripada keluasan tanah kerajaan yang telah diberimilik di Sabah.

"Keluasan ini lebih besar daripada keluasan negeri Selangor Darul Ehsan yang berukuran seluas 795,600.00 hektar sahaja. Dengan pencapaian tersebut, adalah jelas membuktikan bahawa kerajaan negeri serius untuk meningkatkan pemilikan tanah oleh anak negeri Sabah," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pada tahun lepas, sebanyak 17,501 permohonan tanah diproses dan 6,872 permohonan telah disokong untuk diluluskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah (LUC). (Bernama)

No comments:

Post a Comment