Thursday 25 October 2012

TANAH PAJAKAN MASIH BOLEH DIPERBAHARUI





KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memberi jaminan tidak akan mengambil tanah yang dipajakkan kepada pemaju dan pihak komersil lain selama 99 tahun. Bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata pihak yang berkaitan boleh memperbaharui tempoh pajakan dalam masa 10 hingga 20 tahun sebelum tamat tempoh.

“Walaupun tempoh tamat pajakan itu tinggal 20 atau 10 tahun, kerajaan masih boleh meluluskan pembaharuan tempoh itu kerana tanah itu dimiliki rakyat dan bukannya kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Gabungan Persatuan Cina Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, kelmarin.

Sambil menolak tanggapan negatif sesetengah pihak yang mempertikaikan isu itu, Musa, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata pihaknya akan membincangkan dasar itu pada mesyuarat kabinet negeri.

Sebelum ini, Persatuan Pemaju-pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) meminta kerajaan negeri supaya mengembalikan tempoh pajakan berbanding 99 tahun khususnya yang berkaitan hak milik tanah yang dibelah bahagi kepada pemilik dan pembeli rumah.

Shareda berpendapat, dengan tempoh pajakan, pemilik rumah tidak perlu bimbang generasi pengganti mereka “mungkin suatu hari nanti akan kehilangan rumah sekiranya mereka tidak mempunyai wang untuk membayar pelanjutan premium bagi rumah masing-masing.”

Sementara itu, berhubung kedudukan harga tanah yang tinggi di Sabah, Musa berkata ia adalah bergantung kepada kuasa pasaran dan bukan bidang kuasa beliau untuk mengawal pasaran harga.

“Saya gembira kerana ramai pelabur datang ke Sabah membeli hartanah di sini tetapi pada masa yang sama saya juga bimbang akan harganya yang semakin mahal dari masa ke semasa,” katanya.

Yang turut hadir ialah Pemangku Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah, Datuk T C Goh dan Presiden Shareda Datuk Susan Wong Siew Guen.

No comments:

Post a Comment