Friday 26 October 2012

TELEFON BIMBIT TIRUAN DIRAMPAS





KOTA KINABALU: Polis merampas sebanyak 221 telefon bimbit dipercayai tiruan bernilai RM18,000 dalam satu serbuan ke sebuah premis menjual alat komunikasi di pusat beli-belah Centre Point di sini kelmarin.

Serbuan dibuat sekitar jam 12.30 tengah hari. Difahamkan kesemua telefon bimbit itu, antaranya berjenama Samsung Galaxy, Apple iPhone, Nokia dan Sony Ericsson, dibawa masuk dari negara China dan dijual dengan harga murah kepada pelanggan.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, berkata operasi dijalankan hasil maklumat awam dan laporan daripada peniaga setempat yang mendakwa wujudnya kegiatan sindiket penjualan telefon tiruan yang menjejaskan perniagaan mereka.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis mengadakan serbuan ke sebuah premis di Centre Point dan berjaya merampas 221 telefon bimbit yang dipercayai tiruan,” katanya, sambil mengakui telefon bimbit berkenaan dijual dengan harga murah serta boleh ditawar harganya.

Menurut Jauteh, dalam serbuan berkenaan seorang wanita tempatan berusia 23 tahun telah disiasat dan dirujuk kepada pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri.

“Tangkapan dan rampasan kini dirujuk kepada KPDNKK untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membeli telefon bimbit terutama yang dijual dengan harga murah.

“Pastikan telefon bimbit yang dibeli berkualiti dan jangan terpengaruh dengan individu yang menjual telefon bimbit dengan harga murah kerana ia hanya merugikan kita di masa akan datang,” katanya.

Dalam kes berasingan, Jauteh berkata, polis menahan tujuh wanita asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam satu serbuan di sebuah premis hiburan di Inanam Taipan, kira-kira jam 11.30 malam pada 18 Oktober lepas.

Turut ditahan seorang wanita tempatan berusia 43 tahun yang dipercayai penjaga premis berkenaan. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 55 (b) Akta Imigresen 1963. Kesemua wanita berkenaan yang berusia antara 20 hingga 39 tahun itu kini ditahan direman. (UB)

No comments:

Post a Comment