Tuesday 16 October 2012

TIDAK PERLU SEMBUNYI KEWANGAN NEGARA



TIDAK PERLU SEMBUNYI KEWANGAN NEGARA

Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

KUALA LUMPUR : Kerajaan tidak mempunyai kepentingan untuk menyembunyikan pengurusan kewangan negara ekoran kelewatan membentangkan Laporan Ketua Audit Negara 2011 kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Jelas beliau, laporan yang dikeluarkan lewat dua minggu, yang seharusnya dibentangkan bersama dengan pembentangan Belanjawan 2013 pada 28 April lalu, adalah untuk memberikan keutamaan kepada belanjawan.

“Selepas dua minggu kita bentangkan laporan audit ini adalah kerana kita tidak mahu fokus kepada perkara lain semasa pembentangan bajet.

“Tiada perkara yang ingin kerajaan sembunyikan ... rakyat sekarang semakin canggih,” katanya merujuk kepada dakwaan beberapa pihak yang mengatakan kerajaan Barisan Nasional (BN) cuba menyembunyikan beberapa maklumat berhubung penggunaan kewangan negara.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu turut menegaskan kerajaan juga tidak menapis isi kandungan laporan audit berkenaan yang mana pada Laporan Audit 2010 mendedahkan berlakunya 'kecelaruan' dalam projek penternakan lembu fidlot, National Feedlot Centre (NFC) yang diuruskan oleh keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Mana boleh ditapis ... kita bentangkan dengan bukti. Kita juga tunjukkan ada negeri Pakatan Rakyat (PR) yang ditadbir dengan baik, begitu juga negeri BN,” katanya lagi.

Mengulas tindakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang akan memanggil lebih kurang 30 jabatan kerajaan yang menunjukkan pengurusan kewangan yang bermasalah seperti terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011, Nazri berkata itu adalah kuasa yang ada di bawah PAC.

“Kalau mereka rasa jawapan dalam laporan (audit) tidak memuaskan, PAC ada hak memanggil pihak yang berkaitan untuk beri penjelasan,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen di sini.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, pihaknya telah mengenal pasti terdapat lebih kurang 30 jabatan yang mempunyai masalah paling ketara untuk dipanggil.

Azmi ketika sidang media sebelum ini turut menjelaskan, jabatan-jabatan yang bermasalah itu akan dipanggil secepat mungkin bermula pada tahun ini untuk memberikan penjelasan.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan jabatan-jabatan kerajaan yang bermasalah tersebut.

“PAC akan tentukan jabatan yang akan dipanggil untuk siasatan lanjut, seperti yang dicadangkan ketua audit negara ... kita kaji dan akan buat keputusan.

“Ia akan bermula secepat mungkin ... bermula pada tahun ini hingga sepanjang tahun,” katanya lagi, dan menambah, PAC akan hanya melihat “perkara yang amat ketara, tak ketara sangat kita tak akan panggil.” (TMI)

No comments:

Post a Comment