Friday 19 October 2012

TIMBALAN KETUA UMNO PUTATAN DIDENDA RM5,000





KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Umno Bahagian Putatan, Arsit Sedi @ Sidik didenda RM5, 000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana gagal mematuhi peraturan penyingkiran di bawah Akta Koperasi 1993.

Hakim Caroline Bee Majanil menjatuhkan hukuman denda itu selepas Arsit didapati bersalah terhadap dakwaan itu.

Arsit, 58, yang dilucutkan jawatan dari Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Kakitangan Kerajaan Negeri Sabah Bhd (Kopeks) di bawah Seksyen 69 (6) Akta Koperasi 1993 pada 12 Jan 2006, didakwa gagal mematuhi arahan itu dengan memegang jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah Lembaga Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad pada 21 Nov 2009.

Beliau melakukan kesalahan itu di Rafflesia Ballroom 1, Promenade Hotel, No.4, Lorong Api-Api 3, Api-Api Centre di sini pada 21 Nov 2009.

Arsit didapati bersalah di bawah Seksyen 70 Akta Koperasi 1993 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.

Di bawah undang-undang itu, jika seorang pegawai koperasi sudah disingkirkan melalui arahan suruhanjaya, pegawai itu tidak boleh dilantik sebagai ahli lembaga pengarah atau mana-mana jawatankuasa koperasi atau diambil semula oleh mana-mana koperasi untuk tempoh lima tahun dari tarikh penyingkirannya.

Dalam rayuannya, peguam Datuk Norbert Chin yang mewakili Arsit memohon hukuman denda minimum dikenakan oleh mahkamah dan tidak ada hukuman penjara dijatuhkan.

Sementara itu pendakwaan meminta dikenakan hukuman maksimum sebagai pengajaran kerana kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh mempunyai kepentingan awam.

Arsit buat kali pertama didakwa pada Februari tahun ini dan mahkamah membenarkannya dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin tempatan sehingga kesnya selesai dibicarakan.

No comments:

Post a Comment