Friday 19 October 2012

TRANSMITTER WIFI KG BOKARA DIPINDAH






SANDAKAN: Penduduk di Kampung Bokara dekat sini mengambil keputusan untuk memindahkan ‘Transmiter Wifi’ ke tempat yang lebih tinggi ekoran rungutan daripada penduduk setempat yang dikatakan tidak dapat melayari sepenuhnya kemudahan sistem jalur lebar seperti dijanjikan menerusi pelaksanaan Kampung Tanpa Wayar (KTW).

New Sabah Times difahamkan bahawa sejak kemudahan KTW disediakan di perkampungan tersebut tidak semua penduduknya dapat melayari internet memandangkan kekuatan pancaran jalur lebar hanya pada jarak 100 meter.

Ini menyebabkan hanya beberapa rumah sahaja yang dapat melayari kemudahan internet tetapi untuk rumah-rumah agak jauh sedikit daripada pemancar terpaksa menggunakan ‘Streamyx atau ‘Broadband’ sendiri.

“Kami mengambil keputusan untuk memindahkan transmiter ke tempat lebih tinggi sedikit bagi membolehkan orang kampung dapat menerima liputan KTW dengan lebih baik berbanding sebelumnya,” kata seorang penduduk yang enggan namanya siarkan.

Beliau berharap pihak berwajib menambah baik kemudahan ini dan jangan hanya terpampang indah dengan perkataan Kampung Tanpa Wayar namun hakikatnya pula tidak semua yang dapat melayari kemudahan secara percuma itu.

Pada bulan lepas, akhbar ini turut menyiarkan kenyataan penduduk di situ yang berpendapat bahawa mungkin masih terdapat kelemahan dalam memancarkan jalur lebar secara percuma memandangkan jarak pancarannya adalah kurang daripada 100 meter.

Ray Ibrahim Hj Othman meminta pihak berwajib terutamanya yang terlibat dalam pembangunan projek KTW agar memastikan perkhidmatan jalur lebar dapat digunakan sepenuhnya.

Ini katanya, tiada juga makna sesuatu pembangunan seandainya penduduk setempat tidak dapat memanfaatkannya sedangkan papan tanda telah diletakkan sebagai memaklumkan pembangunan yang sedang dikecapi.

Begitu pun, beliau mencadangkan supaya pemancar utama dialihkan ke kawasan lebih sesuai dan bukan meletakkannya di lereng bukit.

“Mungkin ada gangguan sedikit sebab pemancarnya diletakkan di lereng bukit menyebabkan tidak semua orang kampung dapat menikmati kemudahan internet tanpa wayar ini.

“Apa pun, kita tunggu sajalah apa masalah utama menyebabkan tidak semua menikmati perkhidmatan internet secara percuma ini. Kita hanya boleh memberi pendapat mahu pun pandangan, kita tunggulah perhatian daripada pihak yang berkaitan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Bokara, Haji Eram Lattoh, memberitahu buat masa ini hanya jarak 100 meter untuk penduduk kampung dapat melayari kemudahan tersebut.

Beliau telah dimaklumkan bahawa kerja-kerja menambahbaik pancaran jalur lebar ini akan dilaksanakan sedikit masa lagi.


1 comment: