Friday 26 October 2012

TUARAN TIDAK SEINDAH YANG DIGAMBARKAN





Saudara Pengarang,  

SETELAH sekian lama tidak menjejakkan kaki ke pekan Tuaran, akhirnya pada hujung minggu lalu, kawan sejak di bangku sekolah telah menjemput kami sekeluarga menghadiri majlis perkahwinan anaknya.

Sememangnya amat menakjubkan dan dalam masa yang sama menyedihkan juga setelah hampir 25 tahun meninggalkan daerah ini. Kali terakhir semasa bertugas di sini  sekitar 90-an, pekan Tuaran jauh telah berubah wajah daripada seorang jelitawan menjadi nenek tua yang berkerepot seribu.

Bila kereta kami mula memasuki pekan ini, kami sangat terkejut dengan jalan pekan yang semakin sempit dan banyak bulatan pula; tiada tanda arah sehingga sangat menyulitkan orang luar yang pertama kali datang.

Kami juga mengambil masa agak lama berpusing-pusing di sekitar pekan ini dan melihat sekitarnya. Kami agak terkejut dengan keadaan sekitar pekan ini kerana sampah bertaburan. Hampir setiap inci sudut pekan ini dipenuhi penjaja, sama ada haram atau berlesen.

Setiap sudut barisan kedai, diubah suai untuk menjadi kedai kopi dan terdapat satu Medan selera makan, di mana kami singgah untuk minum tetapi oleh kerana terlalu kotor dan berbau busuk dengan bangkai  ikan kerana terletak berdekatan dengan pasar ikan, maka kami membatalkan hasrat kami untuk minum.

Persoalannya, kenapakah tiada satu sistem perancangan bandar selari dengan kepesatan bandar seperti DBKK dan Majlis Daerah Papar, yang kehijauan oleh landskap pepohon nan rendang jika kita bandingkan dengan pekan Tuaran.

Tidak dinafikan MDT ada juga menanam beberapa batang pokok di pekan tetapi seperti hutan belukar yang terbiar atau baru diserang gajah liar kerana kebersihan langsung tidak terjaga.

Sudah pastinya pengunjung pekan ini akan kecewa kerana ADUN Sulaman ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan iaitu Datuk Hajiji Haji Noor; mustahil tidak mampu  memastikan Tuaran menjadi salah satu bandar contoh dari segi landskap dan kebersihan.

Semoga Tuaran akan berubah menjadi lebih baik dalam masa sepuluh tahun akan datang, sekalipun mungkin ketika itu saya sudah uzur; namun anak cucu saya akan dapat menatapnya bagi pihak saya.

Salam Hormat,

MOHD DANIAL ADULLAH

No comments:

Post a Comment