Sunday 7 October 2012

TUNJUK SEBAB ANWAR TAK BOLEH NAIK JET

 


 
Oleh : HAJI SUBKY ABDUL LATIF


LALU riuh sekalian penceceh kerana Datuk Seri Anwar naik jet dari Kuala Lumpur ke Labuan, ke Sabah dan ke Sawarak. Sebelumnya kecoh Anwar dan orang-orangnya naik bas ke sana ke mari dalam jelajah kempennya menunggu PRU 13.

Apa yang dinaiknya seolah-olah tidak kena belaka. Naik bas tak boleh, naik jet pun tak boleh. Habis apa yang boleh? Mungkin naik motosikal dan naik basikal pun tak boleh juga.

Kita tunggu bila pula Anwar hendak menonggang kuda di desa dan kota? Atau tunggu saja dia dan orang-orang berkuda masuk ke Putrajaya nanti. Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang memang selalu berkuda di belakang rumahnya di pantai Rusila. Tentu beliau tidak kekok berkuda ke Putrajaya.

Salahkah Anwar naik jet dalam keadaan jet sebagai satu kenaikan sudah tidak pelik lagi bagi dunia umumnya?

Eloknya kita minta saja sekalian yang gian dan mabuk dengan angin kencang Pakatan Rakyat hendak memfathul (membebaskan) Putrajaya memberi tunjuk sebab mengapa Anwar tidak boleh gunakan jet?

Saya teringat kisah laporan Musnyi Abdullah tentang rakyat jelata tidak boleh berpayung melalui depan istana Raja Terengganu. Komen Munsyi Abdullah, mengapa tidak dilarang burung terbang melintasi istana?

Masa itu belum ada budaya tunjuk sebab. Jika ia berlaku sekarang, kita boleh tanya kerajaan Terengganu memberi tunjuk sebab mengapa orang tidak boleh berpayung di hadapan istana?

Saya tahu cerita seorang pemimpin Umno Terengganu naik jet dengan seorang anak kecil balik ke Terengganu dari Kuala Lumpur kerana bondanya meninggal dunia. Pada hal dia boleh menggunakan motokar yang terbaik untuk ke sana atau tunggu penerbangan biasa. Tidak berbangkit kapalterbang penuh kerana ada ruang bagi mjuslihat istimewa MAS mengosongkan satu dua kerusinya.

Tetapi kerana hendak cepat, dia naik jet. Besar mana belanja dan dari mana dapat duit keranya terpaksa berbayar tidak berbangkit. Manusia sudah ada kemudahan untuk memanfaatkan jet atau apa-apa kenaikan yang lebih canggih.

Apa yang hendak diungkit dengan kemudahan Anwar menggunakan jet? Apa salahnya dan apa tidak betulnya dia menaiki jet?

Adakah kerana dari mana dia dapat duit untuk memajak jet itu? Atau jet siapa dan siapa yang membenarkannya menggunakan jet itu?

Atau kalau ada rakan-rakannya di luar negara memberinya kemudahan menggunakan jet, adakah ia suatu yang tidak dibenarkan? Anwar memang mempunyai ramai rakan di seluruh dunia yang boleh menawarkan kemudahan, malah percuma pun ada yang bersedia.

Kisah Anwar dikatakan senang dengan duit bukan benda yang pelik. Semasa Anwar memimpin ABIM dulu heboh orang kata dia diberi banyak duit oleh Muammar Gaddafi. Tiada sebarang langkah kerajaan ambil tentangnya atau menyiasatnya. Dalam heboh itulah Umno menawarnya untuk menjadi calonnya.

Apa pun yang dikatakan tentang Anwar ialah dia berupaya untuk mendapatkan apa-apa kemudahan seperti yang orang lain boleh dapat.

Mungkin Anwar tidak ada duit dan tidak ada keupayaan untuk menggunakan jet? Soal dia tidak mampu tidak menjadi isu kerana kemudahan itu boleh ditawarkan oleh penyokong-penyokongnya.

Ia adalah tanda dia disokong oleh berbagai jenis orang. Bukan orang miskin saja yang menyokongnya, orang-orang ada jet pun boleh meminjamkan kepadanya.

Jika sebagai pembangkang dia dapat macam-macam kemudahan, maka tidaklah payah baginya untuk mendapat berbagai jenis sokongan kiranya dia memerintah. Dia guna jet tidaklah jadi isu yang pelik, tetapi kalau dia curi jet baru jadi cerita.

Di mana dia dapat duit? Duit Anwar ada dalam poket setiap penyokongnya. Bila dia mahu, sekaliannya akan mengeluarkan duit dari sakunya.

(NOTA :Haji Subky Abdul Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia.)


No comments:

Post a Comment