Saturday 20 October 2012

UNIT BERUNIFORM ROGOL WANITA?





By :  RUZAINI ZULKIFLI

KOTA KINABALU: Tindakan pantas sekumpulan polis peronda berjaya menyelamatkan seorang wanita tempatan daripada ‘dikendurikan’ oleh tiga anggota beruniform dalam satu kejadian di Semporna awal pagi kelmarin.

Difahamkan ketika kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, tiga anggota polis yang sedang melakukan rondaan di situ pada mulanya telah menemui sebuah kereta jenis Proton Wira dalam yang keadaan mencurigakan diletakkan berhampiran ladang berdekatan pekan Semporna.

Ketika pemeriksaan dilakukan, polis telah menemui wanita berusia 20an sedang menangis teresak-esak di dalam kenderaan berkenaan bersama dua lelaki dan lebih teruk, mangsa tidak berpakaian.

Hasil pemeriksaan lanjut, seorang lelaki dipercayai suspek sedang berada di luar kenderaan tanpa berbaju dan difahamkan baru sahaja selesai merogol mangsa yang berada di dalam kereta bersama dua lagi rakan suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah berkata mangsa ketika ditemui dalam keadaan ketakutan dan mendakwa telah dirogol salah seorang daripada suspek terbabit.

Terdahulu, beliau berkata mangsa dan ketiga-tiga suspek telah bertemu buat pertama kali dan berkenalan di sebuah pusat hiburan di pekan berkenaan.

Jelas Omar, setelah operasi premis hiburan itu tamat pada awal pagi berkenaan, mangsa kemudiannya dipelawa suspek untuk dihantar pulang menggunakan kenderaan mereka.

“Tetapi malangnya mangsa telah dibawa ke sebuah semak dekat sebuah ladang berhampiran jalan pesisir pantai sebelum dirogol oleh salah seorang suspek.

“Difahamkan ketika insiden berlaku, tangan mangsa telah dipegang oleh dua lelaki sementara seorang daripada mereka bertindak merogol mangsa.

“Wanita itu bagaimanapun berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa rogol beramai-ramai dengan kehadiran anggota polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan,” katanya.

Jelas Omar, ketiga-tiga suspek merupakan lelaki tempatan yang berusia 30an serta difahamkan bertugas sebagai anggota unit beruniform di daerah Semporna.

Hasil siasatan awal turut mendapati ketiga-tiga suspek berada di bawah pengaruh alkohol ketika pemeriksaan dilakukan terhadap mereka.

“Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol,” katanya. (UB)


No comments:

Post a Comment