Friday 19 October 2012

USUL POTONG GAJI ISMAIL SABRI





SEORANG Ahli Parlimen telah memfailkan usul untuk memotong RM10 gaji Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri kerana didakwa telah menyalahguna kuasa dengan menggunakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menyiasat Suara Inisiatif Sdn Bhd

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP, Tony Pua berkata beliau memfailkan usul tersebut hari ini kerana mendakwa Ismail telah menggunakan jawatannya untuk agenda politik BN dalam menyiasat akaun Suara Inisiatif.

"Sebaliknya, beliau gagal untuk mengambil sebarang tindakan terhadap lima syarikat yang berkaitan dengan Umno yang tidak mengemukakan akaun mereka, ada yang sejak tahun 2007.

"Syarikat-syarikat ini dan pengarah mereka, termasuklah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan," kata Pua.

Katanya, YGP Holdings Sdn Bhd, di mana Khairy dan Abdul Rahman  adalah pengarahnya, tidak memfailkan akaun teraudit sejak 31 Disember 2006, tetapi tiada tindakan diambil terhadapnya.

Ia juga mendedahkan bahawa National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (Nadi), rakan kongsi dalam syarikat penerbangan murah terbaru negara, Malindo Airways, tidak mengemukakan akaun teraudit sejak tahun 2007.

Di samping itu, beberapa syarikat yang berkaitan dengan National Feedlot Corporation Sdn Bhd, yang dimiliki ahli keluarga bekas menteri, Datuk  Shahrizat Abdul Jalil, belum lagi mengemukakan laporan tahunan mereka sejak 30 Jun 2007.

Pua berkata, keputusan beliau memfailkan usul tersebut dijustifikasikan lagi oleh laporan ketua audit negara mengenai kegagalan SSM mengambil tindakan terhadap pengarah-pengarah syarikat yang berhutang bayaran kompaun lebih setengah juta ringgit.

Walaupun sejumlah besar kompaun belum dibayar, tetapi para pengarah berkenaan masih didapati aktif mendaftarkan syarikat baru, tanpa apa-apa halangan.

No comments:

Post a Comment