Friday 2 November 2012

"ANAK TAK PERLU BERITAHU APA DIA LAKUKAN"







KUALA LUMPUR : Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata beliau tidak melihat sebarang kesalahan dengan anaknya yang didakwa menggunakan kereta mewah yang dimiliki Michael Chia, dengan mengatakan hubungan Nedim dengan peniaga balak Sabah itu tidak berkaitan dengan jawatannya selaku menteri kabinet.

Beliau memberitahu wartawan bahawa beliau tidak mengawal setiap pergerakan Nedim kerana beliau sudah dewasa dan menambah jika anaknya menggunakan kereta Chia, itu adalah urusan peribadi anaknya dengan Chia.

"Saya tidak tidur dengan anak saya, saya bukan homoseksual. Anak saya bukan isteri atau kekasih saya. Apa yang dia buat, dia tak perlu beritahu saya.

"Ini urusan anak saya dan Chia. Jika Chia mahu memberikan Nedim Hummer atau Ferrari, itu bukannya urusan dengan saya. Saya yang menteri, bukan anak saya," kata Nazri kepada wartawan apabila ditemui oleh wartawan di Parlimen kelmarin.

Nazri dalam jawapan kepada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang menuduh beliau mempunyai kepentingan, mempertahankan Chia apabila anaknya, Nedim menggunakan kereta mewah atas nama Chia.

"Apa salah dia, cuba beritahu saya? Dia bukan menteri. Mana ada kepentingan. Dia anak saya," katanya lagi.

Beliau enggan mengulas apabila ditanya jika Hummer yang digunakan Nedim adalah milik Chia.

Beliau memberitahu wartawan bahawa beliau tidak perlu berkata apa-apa, berikutan pendedahan Rafizi, pemimpin PKR itu tidak dapat membuktikan apa-apa yang melibatkannya.

"Pergi tanya anak saya, saya tidak boleh cakap bagi pihak dia. Saya tak tidur dengan dia, dia ada isteri, ada anak.

"Apa yang dia buat, saya tidak tahu. Saya kenal Michael Chia, tapi apa salahnya?" katanya lagi.

Nazri baru-baru ini memberitahu Parlimen bahawa Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman telah dibersihkan namanya dari tuduhan rasuah selepas badan pencegah rasuah di Malaysia dan Hong Kong mendapati bahawa 'dana politik' berjumlah RM40 juta itu diseludup ke Malaysia pada tahun 2008 bukan untuk kegunaan peribadi Musa tetapi untuk Umno Sabah.

"Saya masih lagi menteri, kawan. Ini tidak akan sakitkan saya. Saya tidak akan terjejas dengan politik kotor ini," katanya.

Tetapi Nazri tidak bercadang untuk menyaman Rafizi dari dakwaan ini, dengan berkata fitnah ini tidak akan menjejaskan nama keluarganya, dan berkata pemimpin PKR itu tidak ada kredibiliti.

"Saya seorang yang kaya, berkuasa, kacak dan berharta, apa boleh saya buat? Saya tidak kisah, saya popular, seperti bintang filem. Seperti selebriti, bukan seperti pelakon tempatan tetapi peringkat Hollywood. Jadi saya tak boleh buat apa-apa jika mereka mahu ikut saya," katanya lagi.

Dalam pada itu, Nazri mengakui mengenali Michael Chia, tetapi menafikan tuduhan bahawa beliau membersihkan nama pedagang balak itu berkenaan dakwaan rasuahnya.

Nazri menerangkan bahawa beliau menjawab soalan mengenai Chia yang didakwa menyeludup wang untuk Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman kerana tugasnya sebagai Menteri De Facto Undang-Undang.

"Saya menteri, saya tidak ada kepentingan peribadi. Dan, saya tak tahu saya ada kepentingan. Apa kepentingan saya ada?" katanya apabila ditemui wartawan di Parlimen.

Nazri memberi respon terhadap dakwaan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pagi kelmarin menuduh beliau mempunyai kepentingan mempertahankan Chia kerana anaknya Nedim telah menggunakan kenderaan mewah didaftarkan atas nama Chia.

Menteri itu berkata beliau tidak hairan dengan tuduhan Rafizi, sambil menggelarkan pemimpin PKR tersebut sebagai "bukan siapa-siapa", "hanya seperti gigitan nyamuk" dan "perasan".

Beliau mengingatkan Rafizi bahawa jawapan beliau di Parlimen dalam kontroversi itu kerana ia datang dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara, agensi yang menangani kes tersebut.

Nazri menegaskan kedua-dua badan tersebut bebas dan kerajaan tidak mempunyai hak untuk menutup kes.

"Saya tidak ada kuasa dalam SPRM, jadi saya tak boleh menutup kes. Mereka bebas, jadi bagaimana saya nak dirasuah jika saya tidak ada kuasa?" katanya lagi.

Nazri menambah bahawa dia baru-baru ini memberitahu Dewan Rakyat kerana Chia tidak ditahan di Hong Kong dengan 16 juta dolar Singapura (RM 40 juta) dan beliau mengetahuinya bila pegawainya memberitahu.

"Saya pun tidak tahu bahawa Chia tidak ditahan," katanya lagi.

Chia didakwa mempunyai kaitan dengan Musa pada April lalu oleh Sarawak Report, yang mendakwa beliau juga meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Chek Lap Kok, Hong Kong dengan wang bernilai RM40 juta dalam matawang Singapura.

Dalam sidang media Rafizi kelmarin, berkata bahawa ICAC, Badan Pencegah Rasuah di Hong Kong menutup kes berkenaan selepas tidak dapat kerjasama dengan SPRM.

"Bagaimana saya boleh mempengaruhi mereka? Saya tak boleh. Jawapan mereka bukan jawapan peribadi saya. Peguam Negara dan Pesuruhjaya SPRM, mereka tidak ada locus standi di parlimen," katanya lagi. (TMI)

No comments:

Post a Comment