Monday 12 November 2012

BAPA SHIELA AMZAH KONGSI RAHSIA KEJAYAAN





WAWANCARA…..N.D.Lala sedang ditemubual Sabahkini.Net pahit maungnya dalam perniagaannya, termasuk tertipu oleh rakan sendiri.

Oleh : SHAIMON S JUMADI     Foto : ZAMAN ABM FAJEER

SETELAH berhempas pulas memerah keringat dan air mata sebagai penyanyi dan pengacara radio & TV, akhirnya N.D.Lala dapat mengumpul dana sejumlah RM400,000 untuk memulakan perniagaan, namun wang tersebut lesap sekelip mata setelah ditipu kawan sendiri gara-gara ingin untung lebih dalam pelaburan saham yang tidak menjamin apa-apa selain angan-angan.

"Selain kehilangan RM400,000 saya juga ditimpa bala hutang bank sejumlah RM1.4 juta sehingga nama saya disenarai hitam (Black List); rumah kena lelong sehingga  sekeluarga telah mengharungi kehidupan yang amat perit dan merana," kata N.D.Lala yang reda dengan takdir Illahi ketika menceritakan pahit maung kehidupannya.

Betul kata orang, luah N.D.Lala, semasa senang, banyak harta dan wang ringgit, ramai kawan di keliling pinggang yang turut sama gelak ketawa, tetapi ketika kita menangis; kita akan menangis sendiri setelah kawan menyisihkan diri kerana bak kata pepatah, hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat.

"Penderitaan yang saya alami lebih kurang 3 tahun ini merupakan detik pengajaran paling bermakna dan membuat saya insaf; namun saya rela dan tidak pernah mengeluh atau berputus asa untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik di masa mendatang kerana rezeki ada di mana-mana, lagipun bumi Allah terbentang luas  untuk umatnya mencari rezeki," kata N.D.Lala, seorang penghibur yang paling top di era tahun 1980-an dan kini sudah berusia 51 tahun.





HADIR…Isteri Adun Sekong, Datin Junaidah (depan tiga dari kiri) dan Timbalan OCPD Fadzil Mohd Ali turut hadir di majlis tersebut.

N.D Lala atau nama sebenarnya Amir Hamzah yang menceritakan mengenai pengalaman pahit yang dialaminya kepada Sabahkini.Net sejurus selepas memberikan ceramahnya bertajuk 'Kongsi Rahsia Kejayaan' anjuran The Right Entrepreneur Sd Bhd yang diadakan di Dewan SM Yu Yuan, Sandakan malam tadi.

Kata N.D Lala, untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik memang banyak rintangan dan dugaan yang perlu dilalui, namun cabaran itu adalah jambatan menuju destinasi kehidupan di samping menyuntik semangat kita untuk terus berusaha dengan lebih gigih.

"Saya berkecimpung semula dalam dunia perniagaan dengan bermodalkan RM2,000 sahaja tiga tahun lalu, membuka The Right Entrepreneur Sdn Bhd dengan menggunakan daya pemikiran saya sendiri bagaimana mahu bangkit dari kecundang untuk maju ke depan,” ujarnya.

Dengan ilmu, kebolehan serta pengetahuan yang ada pada dirinya, N.D.Lala menganjurkan kursus-kursus seperti 1st, 2nd, 3rd Income; Exponential Income; 4 Quadrant; Leverage, Winning and Mentality, Team and Formula; How To Create Your Own Formula; Prosumer, Referral and Income Platform,“ tambahnya.

Tidak mustahil jika ilmunya telah diwarisi anaknya, Nur Shahila Amir Amzah @ Shila Amzah yang telah memenangi Pertandingan Asian Wave 2012 di Shanghai, China; sekaligus menewaskan lima finalis dari China, Korea Selatan, Singapura dan Thailand.

Kaedah-kaedah yang disebarkannya kepada masyarakat melalui ceramah-ceramah, kata N.D.Lala telah menambah baik kehidupan mereka sekeluarga dan dalam masa yang sama merubah nasib peserta ceramah.

"Kalau kita mempunyai apa sahaja ilmu pengetahuan, jangan kedekut. Wariskan kepada masyarakat supaya mereka manfaatkan dengan sebaik-baiknya kerana ini boleh membantu menjana ekonomi mereka, tertakluk tahap kesabaran; pastinya mereka akan mendapat kuntungan seperti yang saya alami dengan hanya berbekalkan ilmu seperti yang saya huraikan dalam program 'Kongsi Rahsia Kejayaan,” kata N.D.Lala yang gembira dengan sambutan yang diberikan.

Seminar 'Kongsi Rahsia Kejayaan' yang dikelolakan N.D Lala bermula pada jam 7.00 malam berakhir empat jam kemudian telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi PUSPANITA Sandakan, Datin Junaidah Aji dan dihadiri lebih 200 orang masyarakat setempat.

Sebagai penghormatan kepada N.D.Lala, kita saksikan persembahan videoklip anaknya, Shila Amzah di Shanghai. TONTON VIDEO KLIP.


No comments:

Post a Comment