Thursday 15 November 2012

BELIA PENTING UNTUK PEMBANGUNAN NEGARA





BINCANG.....Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak berbincang dengan beberapa peserta di program bersama belia di Bangsar, 14 November 2012.

Oleh : MD IZWAN

KUALA LUMPUR : Hubungan golongan belia dengan kerajaan sangat penting dalam pembangunan negara, kata Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam usaha untuk menarik undi golongan tersebut kepada menyokong Barisan Nasional (BN) menjelang  pilihan raya umum (PRU) ke 13.

Daripada laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), golongan muda yang berusia antara 21 hingga 39 tahun yang mendaftar kini mencecah 5,175,096 atau 40 peratus daripada jumlah keseluruhan 12,912,590 pengundi baru.

Perdana menteri (PM) yang hadir semasa semasa program anjuran Agensi Inovasi Malaysia bersama belia di Bangsar pagi ini berkata hubungan yang terjalin tersebut juga mampu memupuk semangat kekitaan di kalangan belia kepada negara amnya.

“Hubungan belia dan kerajaan penting untuk pembangunan negara, itu perlu diakui. Ia juga membantu mereka memahami peranan  mereka kepada negara,” kata Najib.

Pada majlis sama dalam usaha menarik sokongan belia kepada kerajaan, Najib juga mengumumkan program "Cabaran  Genovasi" kepada belia dengan menawarkan hadiah utama berjumlah RM100 ribu kepada pemenang.

Najib turut menegaskan golongan belia tanpa mengira fahaman politik perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk membentuk sebuah  negara yang membangun.

“Tanpa mengira fahaman politik, golongan belia perlu turut serta bersama dalam usaha yang dijalankan kerajaan,” kata PM lagi.

Menyedari golongan tersebut antara penentu dalam PRU ke-13 ini, BN dan Pakatan Rakyat (PR) kedua-duanya mula melakukan pelbagai kempen dan aktiviti untuk memancing undi daripada golongan tersebut.

“Kehadiran saya disini bukan sebab kerana pilihan raya semakin dekat. Tapi kerana idea golongan belia sangat penting dan bernas yang boleh digunakan oleh kerajaan dalam membangunkan negara,” tambah Najib.

Di samping itu, beberapa pemimpin belia yang ditemui The Malaysian Insider semasa program tersebut mengalu-alukan langkah kerajaan tersebut tetapi mempersoalkan akan sejauh mana keseriusan kerajaan.

"Ya, program PM bertemu belia ini sangat baik terutamanya ia membantu beliau melihat dan mendengar sendiri suara beliau ini.

"Tapi apakah kesinambungan dan langkah pelaksanaan ke atas program sebegini? Saya harap pelaksanaannya diteruskan dan tidak  terhenti begitu sahaja," kata Nurfarini Daing, ketua pegawai eksekutif untuk badan bukan kerajaan (NGO), Youth Trust Foundation.

Seorang lagi presiden NGO, Drug Free Youth Association, Khairuddin Aziz turut berharap langkah kerajaan tersebut tidak terhenti selepas pilihan raya sahaja.

"Ya, ia baik. Tapi harap ia akan terus bersambung dan tidak terhenti. Golongan belia adalah golongan yang penting dan  terdedah dengan isu semasa dan perkembangan teknologi," kata Khairuddin yang banyak mengendalikan konsert untuk belia.

Dalam program hari ini, beberapa isu diberikan kepada peserta yang terdiri daripada golongan belia dan mereka perlu mengulas serta memberi cadangan.

"Hari ini kami diberikan isu yang melibatkan rakyat Malaysia, antaranya topik kebersihan, kemalangan, perkhidmatan pelanggan  dan pelbagai lagi.

"Apabila duduk dalam satu kelompok ini, pelbagai idea dan penyelesaian boleh dicapai. Ia juga akan bantu kami melihat kesan dan reaksi PM sendiri mengenai isu yang dibincangkan sekaligus membantu belia bertanggungjawab terhadap pembangunan yang  dijalankan kerajaan,' kata Izzati Rahman, pengasas Aktivis Muda Malaysia.

Kebanyakkan belia ini dikategorikan sebagai ‘Generasi Y’ yang terdiri daripada kumpulan celik teknologi, dilahirkan antara 1980 dan 2000.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian menyifatkan generasi tersebut ‘berfikiran bebas dan kesetiaan politik mereka tidak tetap’ kerana akses yang lebih luas kepada maklumat.

“Kedua-dua parti politik perlu mengerah tenaga untuk memikat hati pengundi muda ini," kata beliau.

BN memperolehi 4.08 juta undi pada tahun 2008 berbanding dengan PR 3.79 juta undi — perbezaan sebanyak 290,000 undi —  manakala PR pula berharap pengundi baru pada PRU akan datang boleh membantu menambahkan sokongan kepada mereka.

Selain itu, Najib tampak begitu dengan sokongan belia kepada BN menjelang PRU kali ini terutama selepas kemenangan besar Proaspirasi dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2012/2013 di institut pengajian tinggi. (TMI)

No comments:

Post a Comment