Tuesday 6 November 2012

CAWANGAN MAYBANK PERTAMA DI LAOS





Oleh : JAMALUDDIN MUHAMMAD

VIENTIANE : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuka cawangan pertama Maybank di Laos, di sini hari ini, sekali gus menandakan lengkapnya kehadiran bank itu di semua negara anggota Asean.

Beliau berkata peristiwa itu bukan sahaja penting bagi Maybank, malah juga bagi Malaysia kerana ia mengesahkan peranan yang boleh dimainkan oleh badan-badan korporat Malaysia dalam menyokong pertumbuhan di negara-negara jiran.

"Sektor kewangan kita sedang berevolusi dan mencari peluang-peluang baharu; melabur lebih banyak di peringkat antarabangsa, memperkukuh hubungan dengan rakan serantau serta membina keupayaan dan kekuatan di luar negara kita," kata beliau ketika merasmikan cawangan bank itu di Lane Xang Avenue, pusat kewangan utama di ibu negara ini.

Najib berkata Laos adalah satu daripada negara Asia Tenggara yang 'diam-diam ubi berisi' dan ekonominya dijangka berkembang sebanyak 8.3 peratus tahun ini, iaitu yang terpantas dalam kalangan semua negara Asean.

"Lonjakan ini adalah susulan pertumbuhan kukuh selama sepuluh tahun; suatu dekad yang mencatatkan perkembangan purata tujuh peratus setahun bagi Laos, menjadikannya satu daripada pencapai prestasi terunggul di dunia.

Najib berkata kejayaan permohonannya untuk menyertai Pertubuhan Perdagangan Dunia selepas berunding selam 15 tahun menunjukkan potensi Laos sebagai sebuah pasaran pertumbuhan dan komitmennya terhadap langkah membuka ekonominya kepada peluang-peluang baharu.

Beliau berkata syarikat Malaysia adalah antara 10 pelabur asing terbesar di Laos tahun lepas dan memandangkan perdagangan antara Laos dan Asean semakin meningkat, dan firma-firma asing sedang mencari sokongan tempatan, bank-bank Malaysia boleh menjadikan permulaan yang kukuh sebagai suatu kejayaan yang berpanjangan.

Kata beliau, Maybank, dengan produk dan perkhidmatan kewangan bertaraf dunianya akan membawa kepakaran baharu ke pasaran Laos, membina kumpulan pekerja berbakat tempatan dan menyokong pembangunan masyarakat.

"Dalam Asean, kita sentiasa percaya kepada konsep 'makmurkan jiran anda' iaitu sokongan dan galakan kepada satu sama lain untuk menghasilkan kemajuan dan kemakmuran bagi semua.

Apabila sumbangan Asia kepada pertumbuhan global meningkat dan perdagangan dan pelaburan di Asia bertambah, jelaslah bahawa institusi kewangan Asia perlu memainkan peranan utama, katanya.

Kata Najib permintaan bagi perkhidmatan kewangan seperti insurans, pembrokeran saham, perbankan pelaburan dan pengurusan aset akan berkembang berikutan penubuhan Komuniti Ekonomi Asean menjelang 2015.

Maybank adalah peneraju perkhidmatan kewangan serantau Malaysia dengan rangkaian antarabangsa yang terdiri daripada lebih 2,200 pejabat di 20 negara termasuk Hong Kong, China, Bahrain, Uzbekistan, Pakistan, India, Arab Saudi, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Ia mempunyai lebih 46,000 pekerja yang memberikan perkhidmatan kepada lebih 22 juta pelanggan di seluruh dunia.

Terdahulu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata pembukaan bank itu di Laos penting kerana peluasan operasinya ke seluruh Asean akan dapat menyokong pelanggan serantaunya.

"Kami percaya, dengan kehadiran kami di Laos, kami akan dapat mempermudah perdagangan dan pelaburan sesama negara Asean dengan lebih luas lagi."

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Timbalan Perdana Menteri Laos, Asang Laoly, Menteri Kewangan Laos, Prouphet Khamphouvong, dan Gabenor Bank Pusat Laos, Somphao Phaysith. (Bernama)

No comments:

Post a Comment