Thursday 1 November 2012

DUA ORANG DITAHAN DI LUBNAN ADALAH PENGGANAS




 

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengesahkan dua orang rakyat Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Lubnan pada Khamis lepas sebagai pengganas. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan mereka yang ditahan itu telah berada di bawah pengawasan dan risikan kerajaan.

"Mereka telah di bawah pemantauan risikan kita sejak setahun dahulu. Cuma hari ini kita maklumkan pada orang ramai oleh kerana penahanan yang dibuat di Lubnan," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, kelmarin.

Kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap suspek kerana mahu menunggu masa yang tepat, jelas Hishammudin ketika diminta mengulas mengapa kerajaan tidak bertindak walaupun telah membuat pemantauan selama setahun.

"Badan-badan perisikan perlu mengambil tindakan pada masa yang sesuai. (Sebelum ini) Mas Selamat telah dipantau selama lapan bulan sebelum tindakan diambil supaya badan risikan dapat mengumpul maklumat yang tepat dan lengkap," katanya.

Hishammuddin berkata bilangan orang di bawah pengawasan kerajaan adalah ramai tetapi jumlah itu tidak perlu didedahkan kerana ada sebahagiannya merupakan rakyat Malaysia dan ada yang dari negara lain.

Sementara itu, Hishammuddin juga berkata, akta baru yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri telah diberi peruntukan untuk berurusan dengan kes-kes keganasan.

"Ini sesuatu yang perlu diterima oleh semua pihak kerana tiada yang akan setuju dan menyokong aktiviti keganasan," katanya.

Khamis lalu, pihak berkuasa Lubnan telah menahan dua orang rakyat Malaysia dipercayai pengebom berani mati dan disyaki ada kaitan dengan organisasi pengganas al-Qaeda.

Mohamad Razin Shahar Mustapha Kamal, 21, dan Razif Mohamad Ariffin, 28, telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut. (Malaysian Digest)

No comments:

Post a Comment