Sunday 11 November 2012

DURIAN RUNTUH FASA KETIGA RM563 JUTA





Oleh : MD IZWAN

SHAH ALAM : Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Razak menyempurnakan pemberian durian runtuh fasa ketiga kepada peneroka Felda berjumlah RM563 juta kelmarin walaupun corak membimbangkan yang dialami beberapa syarikat kebelakangan ini akibat daripada penyenaraian penawaran awal awam (IPO) di Bursa Saham.

Pemberian tersebut akan meliputi seramai 112, 635 keluarga peneroka seluruh negara dengan jumlah keseluruhan setiap keluarga akan menerima adalah sebanyak RM5 ribu.

“Pemberian hari merupakan kerajaan Barisan Nasional (BN) menepati janji dan menafikan tuduhan pembangkang yang mengatakan Felda akan bankrap,” kata Najib semasa merasmikan Himpunan Generasi Baru Felda di Shah Alam kelmarin.

“Ini adalah fasa ketiga durian runtuh daripada kerajaan kepada peneroka, namun ia masih tidak mencukupi hinggalah tiba masanya pilihan raya nanti.”

Dalam laporan The Malaysian Insider semalam, saham Felda Global Ventures Holding (FGVH) dilapor telah merosot dalam minggu lepas atas keraguan terhadap pendapatan lemah syarikat perladangan tersebut.

Sementara itu, Najib juga membidas dakwaan pembangkang yang mengatakan Felda akan mengalami rugi dengan penyenaraian tersebut dan menyifatkan ia sebagai cubaan untuk menakut-nakutkan peneroka.

“FGV adalah kejayaan negara, menerusi keuntungan daripada penyenaraian kita tahu kerajaan hari ini sudah terbukti kemampuannya.

“Pembangkang sebelum ini kata Felda akan bankrap, kita lihat mereka ini bukan untuk berusaha mencari kebaikan tetapi hanya tahu menghasut dan memburukkan kerajaan,” tambah Najib.

Dalam majlis sama, Najib juga mengumumkan projek pembinaan rumah hampir 70 ribu buah kepada peneroka yang akan menggunakan kaedah pasang siap.

Pada Mei lalu, Najib mengumumkan pemberian durian runtuh berjumlah RM15,000 kepada setiap peneroka Felda seluruh negara.

Pemberian tersebut melibatkan tiga fasa iaitu fasa pertama, setiap ketua keluarga akan menerima RM5,000 seorang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM563.715 juta.

Untuk pemberian fasa kedua, sebanyak RM5,000 telah diagihkan kepada isteri peneroka sebagai mengiktiraf peranan yang diberikan oleh golongan tersebut.

Ekoran pengumuman tersebut, pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli telah membidas kerajaan dengan mengatakan peneroka sepatutnya menerima ganjaran RM50,000 bukannya RM15,000 seperti diumum Najib.

Rafizi berkata, berdasarkan prospektus penyenaraian, dana yang akan dikutip Felda selepas penyenaraian berjumlah RM5.6 bilion dan ia adalah hak 112,635 keluarga peneroka Felda di seluruh negara.

“Namun, hanya 30 peratus (RM15,000 setiap keluarga) dari dana yang dikutip diagihkan kepada peneroka dan ia berjumlah RM1.689 bilion. Najib mestilah memperincikan bagaimanakah baki RM3.942 bilion akan dibelanjakan,” katanya dalam satu kenyataan.

No comments:

Post a Comment