Monday 19 November 2012

HADI BERSEDIA DILANTIK JADI PM





Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

KOTA BHARU : Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berkata, beliau bersedia untuk menjadi perdana menteri, seperti yang dibangkitkan kebanyakan perwakilan dalam Muktamar Tahunan ke-58 PAS.

"Saya alu-alukan nak lantik jadi perdana menteri ... tetapi saya minta Allah menangkan kita, bila menangkan Islam, lepas tu nak mati-matilah," katanya ketika ucapan penggulungan di Pusat Tarbyiah Islamyiah Kelantan (Putik) di sini.

Ahli Parlimen Marang itu (gambar) dilihat mengeluarkan kenyataan sedemikian sebagai respon kepada sesi terakhir muktamar hari ini yang menyaksikan semakin ramai perwakilan membangkitkan pendirian melantik beliau sebagai perdana menteri.

Pakatan Rakyat (PR) bagaimanapun telah mempunyai kesepakatan untuk memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan itu jika berjaya menawan Putrajaya.

Antara perwakilan yang membangkitkan perkara itu adalah daripada Dewan Ulama PAS, dan juga Dewan Muslimat parti Islam berkenaan.

Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed menegaskan PAS perlu memiliki kekuatan majoriti dalam PR bagi melantik Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri.

“Kita hidup dalam sistem demokrasi, maka jika PAS menang banyak dalam pilihan raya akan datang, maka yang akan jadi Perdana Menteri sudah pastilah Datuk Seri Presiden (Abdul Hadi).

“Jadi selepas ini, jangan ada yang mempromosikan orang lain, kita sebulat suara mahu presiden menjadi Perdana Menteri.

Abdul Hadi semalam berkata, beliau lebih rela menjadi “khadam” demi rakyat daripada menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri yang disifatkannya sebagai “amanah berat”.

Aiman Atirah, wakil Dewan Muslimat PAS ketika penggulungan turut menegaskan mahu melihat PAS menjadi tunggak dalam PR, dan kemudian Abdul Hadi akan memiliki keupayaan untuk menjadi Perdana Menteri.

“Muslimat juga cadang Presiden jadi Perdana Menteri. Kita tidak perlu cabar mencabar atau desak mendesak, kita mahu PAS menjadi tunggak dalam PR ... adakah tuan-tuan setuju?” katanya, dan disambut sahutan “setuju” daripada para perwakilan.

Anwar bagaimanapun dilihat tenang menangani perkara itu, dan menjelaskan geaan-gesaan perwakilan PAS itu bukanlah “satu masalah” bagi PR.

“Tiada masalah, tak ada apa, kita boleh bincang dengan baik,” kata Ketua Umum PR itu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara di Universiti Selangor (Unisel), di sini pagi kelmarin.
  

No comments:

Post a Comment