Thursday 29 November 2012

HURU-HURA JIKA PAKATAN KALAH PRU13






Oleh : MOHD FARHAN DARWIS DAN MD IZWAN

KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad adalah betul untuk memberi amaran tentang huru-hara yang bakal berlaku jika Pakatan Rakyat (PR) kalah dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata pemimpin Umno yang bersetuju dengan bekas perdana menteri (PM) itu bahawa parti pembangkang mempunyai kegemaran untuk menganjurkan demonstrasi jalanan untuk menuntut apa yang mereka mahukan.

Pemimpin yang ditemui di luar perhimpunan agung tahunan Umno 66 di sini dan di Parlimen juga bersetuju bahawa demokrasi mesti mempunyai had kerana ia boleh membawa kepada keganasan jika disalahgunakan.

Namun begitu, ramai pegawai parti pemerintah itu akan mempunyai masalah untuk 'menjual' idea ini kepada rakyat Malaysia yang kini melihat banyak masalah dan keganasan disebabkan oleh kumpulan sayap kanan Melayu, Perkasa dan kumpulan-kumpulan yang dikaitkan dengan parti pemerintah.

“Demokrasi perlu dikawal, mesti perlu ada had. Kalau mereka terlalu bebas dan tidak ada had, ia akan beri risiko kepada negara kerana ia boleh membawa kepada perkara-perkara yang tidak diingini,” kata ahli parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri kepada The Malaysian Insider apabila ditemui di Parlimen.

Ahli politik Umno berkata Dr Mahathir adalah tepat untuk meramalkan bahawa pemimpin PR akan menganjurkan lebih banyak demonstrasi jika mereka gagal untuk merampas Putrajaya pada PRU akan datang, dan berkata kerajaan harus berhati-hati apabila mengeluarkan permit untuk acara-acara tersebut.

Beliau menambah jika PR memenangi PRU, ia akan menjadi sukar untuk menasihati pemimpinnya tentang bagaimana demonstrasi itu boleh memudaratkan kestabilan negara dan juga ekonomi.

“Lagipun, mereka yang menggalakkan demonstrasi itu,” tambah beliau.

Dalam ceramah majlis makan tengah hari semasa Forum Antarabangsa 2012 dianjurkan Umno dua hari lepas, Dr Mahathir memberi amaran bahawa demokrasi tidak menjamin keselamatan awam dan keamanan oleh kerana keganasan boleh terjadi apabila kumpulan minoriti bangkit menuntut hak mereka.

Perdana Menteri paling lama berkhidmat di negara ini menegaskan semasa pilihan raya, pihak yang kalah seringkali tidak menerima kegagalan mereka dan akan melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan kerajaan dipilih rakyat.

Beliau kemudian meramalkan jika PR kalah dalam pilihan raya akan datang, Malaysia mungkin akan dibanjiri dengan lebih banyak keganasan jalanan melalui demonstrasi awam, termasuk menyalahkan sepenuhnya kepada pemimpin de facto mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Mahathir berkata bahawa demonstrasi jalanan adalah cara Anwar bersedia untuk menghadapi pilihan raya, sambil menambah, “tanpa Anwar, tiada demonstrasi”.

Beliau juga berkata pembangkang sudah mula menyiapkan pentas bagi huru-hara, menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia melalui kumpulan pro-PR bangkit dan menolak keputusan pilihan raya sekiranya Barisan Nasional (BN) mengekalkan Putrajaya.

“Mereka mewujudkan persekitaran di mana orang diberitahu pilihan raya akan datang tidak adil supaya rakyat mesti bersedia untuk menolak keputusannya dan mengadakan demonstrasi untuk mengganggu ekonomi dan semua itu supaya mereka boleh mendapat kuasa walaupun selepas tewas,“ katanya.

Menteri Umno, Datuk Seri Mustapha Muhamad berkata Dr Mahathir tepat dengan ramalan beliau, menunjukkan bahawa walaupun hari ini, pembangkang terus menjadi penganjur kepada banyak demonstrasi jalanan.

“Sekarang pun dah demonstrasi, esok (selepas pilihan raya) akan ada banyak lagi,

“Tak mustahil mereka kalah PRU, mereka cenderung buat begitu. Kita perlu berjaga-jaga, jangan pilih orang yang akan buat huru-hara dan ketegangan kerana negara kita aman bahagia, itu kunci keamanan kita,” katanya.

“Kalau kita hormat undang-undang, dan amal prinsip kesederhanaan, kita akan berjaya mengekalkan keamanan,” tambah beliau.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata beliau tidak dapat memahami PR, menegaskan mereka yang memenangi kerusi dalam PRU sebelum ini turut menyertai demonstrasi jalanan.

Beliau berkata ahli parlimen PR perlu menunjukkan rasa hormat kepada pengundi di kawasan yang memilih mereka daripada berdemonstrasi di jalanan.

“Kalaupun tidak berpuas hati dengan demokrasi di Malaysia, guna saluran  Parlimen. Buatlah penambahbaikan dan perubahan dengan saluran yang betul,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Tetapi Shahrir berkata, bagaimanapun, rakyat Malaysia sudah cukup matang untuk tidak terpengaruh dengan emosi yang dibangkitkan semasa protes awam, tanpa mengira objektif peristiwa.

Kata-kata beliau beliau dipersetujui oleh Timbalan Menteri Umno Datuk Saifuddin Abdullah, yang mengatakan tiada apa yang perlu ditakutkan dengan demonstrasi.

Kenpa saya tak risau? Rakyat sudah matang dan kita ada undang-undang untuk implmentasikan,” katanya.

Beliau tidak bersetuju dengan Dr Mahathir bahawa demokrasi boleh membiakkan keganasan, menegaskan sekali lagi bahawa rakyat Malaysia sudah bersedia untuk menerima “demokrasi progresif”.

Pemimpin belia yang lantang itu menegaskan Malaysia terselamat sepanjang 55 tahun merdeka dan 12 PRU tanpa banyak insiden, kecuali untuk satu dua insiden terpencil yang beliau katakan mungkin tidak berulang.

“Secara umumnya, kita boleh menggunakan demokrasi dengan cara baik,” katanya.

Terdapat peristiwa keganasan kempen sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalamacara dan ceramah pembangkang oleh mereka yang dikaitkan dengan kumpulan pro kerajaan manakala bantahan dan perhimpunan tsebahagian besarnya aman sehingga dihalang oleh pihak polis.

Aktivis hak asasi manusia termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengatakan perhimpunan aman dan rapat umum harus dibenarkan terutamanya dengan undang-undang baru digubal untuk memudahkan acara itu dengan notis yang sesuai kepada pihak berkuasa. (TMI)

No comments:

Post a Comment