Saturday 24 November 2012

ISU PENDANDAN RAMBUT DESAK DAP KELUAR PR






MCA telah menggesa DAP keluar daripada Pakatan Rakyat ekoran "provokasi berterusan" PAS, demi "memelihara maruah" masyarakat Cina dan bukan Islam.

"Saya menggesa DAP menarik diri daripada Pakatan kerana DAP tidak mempunyai kekuatan untuk menangkis provokasi berterusan dan penindasan dari PAS yang membabitkan maruah pengundi Cina dan bukan Islam," kata ahli jawatankuasa pusat MCA, Loh Seng Kok dalam satu kenyataan kelmarin.

Beliau dirasakan merujuk kepada laporan media mengenai seorang pendandan rambut wanita bukan Islam di Kota Bharu yang didakwa telah disaman oleh majlis perbandaran kerana memotong rambut pelanggan lelaki.

"Walaupun Lim Guan Eng dan PAS mendakwa bahawa dasar tegas PAS itu tidak akan menimbulkan ancaman kepada amalan budaya bukan Islam, tetapi jika DAP tidak mahu menggadai hak masyarakat Cina dan bukan Islam, maka DAP perlu menarik diri daripada Pakatan dan mengisytiharkan dengan tegas bahawa mereka tidak menyokong undang-undang hudud PAS bagi memadamkan kebimbangan masyarakat Cina dan bukan Islam tentang kesan hudud PAS ke atas mereka," kata Loh (gambar kiri).

Loh membuat gesaan itu selepas Setiausaha Agung MCA, Chew Lee Giok mengaitkan laporan itu kepada isu hudud, yang menjadi bahan kempen utama MCA terhadap pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-13.

Sementara itu, Pengerusi Wanita MCA Pulau Pinang , Tan Cheng Liang (kanan) dalam satu kenyataan berasingan berkata PAS 'bohong' apabila mengatakan orang bukan Islam tidak akan terjejas dengan undang-undang hudud.

"Penipuan ini direka untuk kelihatan sederhana dan memenangi undi bukan Islam. Kes pendandan rambut di Kota Bharu itu hanyalah satu lagi contoh bagaimana dasar PAS menyebabkan kehilangan pendapatan secara tidak adil terhadap usahawan bukan Islam yang mahu hidup secara yang jujur," katanya.

No comments:

Post a Comment