Sunday 18 November 2012

JANJI TRANSFORMASI KERETAPI BELUM DITEPATI





Oleh: JACKSON LU

TENOM: Kerajaan digesa khususnya Kementerian Infrastruktur Sabah agar menunaikan kata-kata mereka (walk the talk) untuk mempertingkatkan perkhidmatan Keretapi Negeri Sabah yang telah wujud sejak zaman kolonial lagi supaya rakyat termasuk pelancong akan mendapat manfaatnya.

Ini disebabkan rakyat seakan-akan kebosanan mendengar kenyataan yang serupa berhubung perkara itu yang pernah diungkapkan oleh pemimpin mereka (Barisan Nasional) sejak tahun 2009 tetapi sehingga sekarang tiada tanda-tanda telah dilaksanakan.

Demikian dinyatakan bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) MP Tenom tahun 2008 Adris Taripin (gambar) pada Sabtu yang mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Tan Sri Joseph Pairin Kitingan baru-baru ini berhubung cadangan kerajaan meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS).

“Kami berharap kerajaan benar-benar membuktikan janji mereka kepada rakyat khususnya penduduk di sepanjang landasan Pangi-Rayoh dan seterusnya ke Beaufort (kerana) niat kerajaan bukan baru, malah ia bermula sejak tahun 1994 lagi.

“Kita juga mahu mempamerkan kemodenan infrastruktur kita di mata pelancong yang berkunjung ke pusat riadah 'White Water Rafting' di Pangi-Rayoh bahawa kemudahan kita sudah beralih ke tahap moden dan selesa untuk setiap pengguna supaya eko-pelancongan di situ semakin rancak, terutama pertambahan kedatangan pelancong asing,” tegas Adris.

Adris menambah, adalah tidak wajar bagi kerajaan BN untuk tidak mentransformasikan perkhidmatan keretapi yang telah berkhidmat kepada masyarakat lebih 30 tahun lalu termasuk menukar ganti jentera lokomotif kepada jenis baru yang lebih berkeupayaan tinggi termasuk gerabak-gerabak penumpang.

Pernah berlaku beberapa ketika dulu, kata Adris, apabila jentera lokomotif mengalami kerosakan teruk sehingga tidak ada langkah langkah alternatif lain dapat dilakukan memaksa perkhidmatan harian keretapi ke Pangi-Rayoh dan seterusnya ke Beaufort terpaksa ditutup sehingga berminggu-minggu lamanya.

“Apabila perkhidmatan ditutup, banyak perkara yang turut bermasalah seperti pengangkutan guru-guru yang mengajar ke SK Pangi termasuk beberapa murid sekolah, para peniaga sayuran dan buah buahan ke Beaufort dan juga para pelancong asing yang ke pusat riadah white water rafting Pangi-Rayoh.

“Apa yang lebih penting ialah keseriusan kerajaan dalam melengkapkan kemudahan kerajaan yang telah dirancang lebih awal tanpa menunggu di saat -akhir khususnya apabila sesuatu pilihanraya umum menjelang tiba,” tegas Adris.

Sekitar tahun 2008, satu insiden terburuk pernah berlaku apabila kepala keretapi (jentera lokomotif) tergelincir dari landasan sebelum terbabas dan terjunam ke Sungai Padas kira-kira 2 km dari stesen Tenom menuju ke Beaufort disebabkan landasan yang rosak akibat beberapa batang 'seliparnya' terlibat dengan tanah runtuh.

Keretapi yang membawa 3 gerabak penumpang itu turut mengorbankan satu nyawa dan 3 cedera parah manakala lebih 10 penumpang mengalami cedera ringan dan dimasukkan ke dalam wad Hospital di dalam kejadian tersebut.



No comments:

Post a Comment