Wednesday 21 November 2012

KASTAM SABAH RAMPAS DADAH RM1 JUTA





RAMPAS......Matrang (dua kanan) bersama Hamzah (kanan) dan pegawai Kastam yang lain menunjukkan bungkusan dadah jenis syabu yang berjaya dirampas.

Oleh : SITI AISYAH NARUDIN


KOTA KINABALU: Taktik seorang lelaki menyembunyikan lapan bungkus dadah jenis syabu di dalam lipatan pakaian perempuan terbongkar apabila dikesan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah.

Dalam kejadian Ahad lepas kira-kira jam 9.30 pagi, sepasukan pegawai cawangan pemeriksaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) menahan seorang warga tempatan kerana keadaannya yang mencurigakan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Matrang Suhaili berkata hasil pemeriksaan pihaknya, bagasi penumpang berkenaan didapati mengandungi lapan bungkusan berbalut kertas aluminium yang disorokkan dalam lipatan pakaian perempuan.

Menurutnya, bungkusan berkenaan berisi serbuk putih yang disyaki dadah jenis syabu dengan berat lebih kurang empat kilogram (kg).

“Dianggarkan nilai pasaran untuk barangan ini berjumlah RM1 juta dan ini adalah kes pertama yang diperolehi Kastam Sabah melibatkan pintu masuk LTAKK tahun ini.

“Suspek yang berumur 31 tahun ini tiba daripada Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) selepas menerima bekalan dadah terbabit daripada seorang warga Afrika di sana,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Beliau berkata, ini adalah kali ketiga suspek datang ke negeri ini dan dipercayai bekalan dadah itu untuk kegunaan tempatan.

Matrang berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah berbahaya.

Jika sabit kesalahan katanya, suspek boleh menerima hukuman gantung sampai mati.

Jelasnya, tahun lepas sebanyak dua kes diperolehi melibatkan pintu masuk lapangan terbang dengan nilai rampasan berjumlah RM1.3 juta.

Dalam kes terbabit, beliau berkata seorang telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati manakala satu kes lagi masih dalam perbicaraan.

Tambahnya, setakat 7 November lepas, seramai 117 orang berjaya ditahan atas kesalahan mengedar dadah di seluruh negara dan 26 orang daripadanya adalah warga Malaysia.

“Kesemua tangkapan itu melibatkan jumlah rampasan sebanyak RM146.5 juta dengan jumlah kes sebanyak 97 kes.

“Tahun lepas, kita berjaya membuat 76 tangkapan dengan nilai rampasan berjumlah RM183.8 juta daripada 92 kes,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kastam Sabah, Hamzah Sundang. (UB)

No comments:

Post a Comment